August 27, 2011

Sakit Itu Kafarah Dosa



Sakit itu kifarah dosa buat hambanya.

Ada mesej yang ingin disampaikan melalui sakit itu.

Sakit itu akan mengajar erti kesihatan.

Sakit akan menyebabkan kita menghargai nikmat kesihatan.

Sakit mengajar kita supaya bersifat qanaah.

Sakit menginsafkan kita sebagai seorang hamba Allah.

Moga terus tabah menghadapinya....



Sakit apa pun yang saya lalui biarlah antara saya dengan Allah yang mengetahui. Apa yang sentiasa diharapkan ialah DOA-DOA kalian. Alfun syukran kepada mereka yang mendoakan kesihatan saya.
Buat keluarga yang bersusah payah untuk mencari penawar untuk mengubati sakit yang saya lalui tempoh hari.
Buat Ina, terima kasih kerana menemani saya ketika saya sakit. sanggup bermalam di rumah kerana risaukan kesihatan saya. Buat Awak, terima kasih kerana sentiasa memberi semangat buat diri ini di saat jasad mula rebah. berkali2 diri ini rebah, tetapi ku gagahkan semula.
insyallah. Harlina kena kuat kan \^o^/

*sigh* 1 minggu tidak hadir ke kuliah dan kelas.
.................................
Antara PENAWAR nya ialah :
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-











~ PULLMAN PUTRAJAYA LAKESIDE ~
30 JULAI 2011
nak pergi lagi tau ! :)

Terima kaseh teman, kerna mengingatkan. Terima kaseh Allah, atas ujian penguji kesabaran jua sebagai kifarah dosaku.


" Ya Allah! Aku ini hambaMu yang kerdil dan lemah. Sungguh terkadang aku lupa dan merintih, merungut dan mengeluh dengan ujianMu. Sedangkan ujianMu itu tanda kasih sayangMu terhadapku. Aku risau andai keluhan kesahku, rungutan dan rintihanku mengundang murkaMu.Aku takut andai keluhan kesahku, rungutan dan rintihanku membawa aku jauh dariMu, ya Allah! Lalu, dengan RahmatMu kupohon keberkatan insan-insan bernama teman dan sahabat sebagai penyeri hidupku dan pengingat aku kepadaMu di kala aku lupa."



Majlis Pertunanganku

Bismillahirahmanirahim..


Setelah sekian lama meninggalkan "PONDOK HATI" ini. dah bersawang ler nampaknya.
makanya, kena QADA' kan semula segala penulisan, pengalaman, luahan hati, serta memori terindah yang telah saya lalui sepanjang berkurun lama nya tidak dikongsikan bersama.

Alhamdulillah. hari ini sudah masuk 57 hari saya "diikat" menjadi tunangan si dia. Tarikh pertunangan kami di adakan pada 24 Julai 2011 yang lalu. Majlis pertunangan di hadiri oleh saudara mara dan jiran-jiran yang terdekat. Tidak lupa juga kepada sahabiah saya yang sentiasa menemani iaitu Azleena (Ina), Hurul Ain (Ain) dan Farhana (Nana). Alfun syukran kepada semua yang membantu dalam menjayakan majlis yang mudah dan ringkas. Alhamdulillah.

Syukur Ya Allah.
Kerana memudahkan majlis pertunangan kami. Moga majlis itu dipenuhi dengan keberkatan Illahi.

Antara perbincangan yang diadakan oleh kedua belah pihak lelaki dan perempuan ialah TARIKH PERNIKAHAN, JUMLAH WANG HANTARAN serta MAS KAHWIN. insyallah. semuanya telah dibincangkan serta disepakati oleh keluarga belah pihak.

buat pesanan untuk si dia :
Moga kita sama-sama tabah dalam menempuh segala liku-liku serta dugaan sepanjang tempoh pertunangan kita . Semoga hubungan ini diakhiri dengan sebuah pernikahan suatu hari ini. Khair insyallah.
JAGA DIRI, JAGA IMAN, JAGA PANDANGAN ya :)








June 27, 2011

Bahagia Hingga ke Syurga


Siang tadi, semasa pulang dari kuliah saya terfikir sesuatu yang unik, lantas saya terfikir sesuatu, wanita & lelaki dijadikan dalam perbezaan, tetapi mengapa disuruh untuk hidup bersama. Tentunya ada 'persamaan' dalam perbezaan kedua-dua ciptaan tersebut. Minyak dan air tidak akan bercampur secara lumrah, tetapi apabila sudah sebati menjadi Kuah Kari, soal perbezaan tidak lagi menjadi pertikaian.

Pokoknya kita boleh bersatu, sebenarnya perbezaan akan mengeratkan hubungan antara pasangan. Salah satunya adalah aspek perasaan. Dua ciptaan pastinya mempunyai 2 perasaan yang berlainan. Waktu juga berlainan. lalu bagaimana kita mahu menyeimbangkan Perasaan tersebut agar sentiasa dalam situasi yang aman & harmoni.

Berikut adalah tips yang cuba-cuba saya fikirkan. Ada 4 situasi yang memerlukan kerjasama antara pasangan untuk mengharmonikan perasaan. Tolak-ansur adalah jawapannya:

1- KETIKA SUAMI & ISTERI, KEDUA-DUANYA DALAM PERASAAN GEMBIRA

Masa ini adalah masa paling berharga untuk pasangan, mungkin agak sukar untuk mempunyai "pertembungan" masa seperti ini.

Pasangan harus menggunakan masa ini sebaiknya, kerana masa seperti inilah masa untuk membuktikan kasih-sayang dan rasa cinta kepada pasangan. Isteri perlu meringankan tulang untuk membantu apa jua bebanan suami, mood & perasaan yang baik akan membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk melakukan apa sahaja. Banyakkan interaksi antara pasangan, dengan cara ini ia akan mengeratkan hubungan "dua hala".

Menggunakan sebaiknya masa "emas" ini untuk menzahirkan rasa cinta antara pasangan
Suami pula harus menghargai segala penat lelah isteri yang sudi membantu tanpa disuruh. Tidak salah jika suami mahu melakukan tugas isteri. Wanita apabila dalam mode gembira, dia suka bercerita & memberitahu apa yang dirasai, jadi suami harus menjadi pendengar setia, dan sebaiknya suami perlu memberi respon yang positif, itu sifat wanita, suka bercerita dan suka dihargai. Kalau dipuji, lebih mereka suka.

Suami pula jangalah berat mulut untuk memuji kelebihan isteri, sesekali sebutlah: "Yam, I suka kalau you selalu pakai bedak sejuk tu, nampak cantik macam Siti Nurhalija"

Tak rugikan memuji? bukan orang lain pun, isteri kita juga. Pendek kata, dalam situasi (1) ini, pasangan harus menunjukkan kegembiraan masing-masing dengan melakukan sesuatu yang disukai oleh pasangan.

2- KETIKA SUAMI & ISTERI, KEDUA-DUANYA DALAM PERASAAN MARAH ATAU SEDIH

Pertama, suami harus bijak mengawal emosi, antara marah seorang lelaki dan marah seorang wanita sangat berbeza. Lelaki mempunyai akal yang 'lebih" berbanding wanita, tidak hairanlah jika wanita sedang marah, emosi mereka akan mengatasi rasional mereka. Berikan peluang untuk isteri meleraikan kemarahan mereka, suami macam biasalah, jadi pendengar yang setia. Tension itu nombor 2, yang penting isteri tersayang mesti dijaga.

Oleh kerana kedua-duanya sedang marah, suami lebih layak untuk bertolak ansur dahulu, jangan menampakkan yang anda sedang marah, apatah lagi menghamburkan kemarahan kepada isteri yang sedang dalam kondisi yang tidak stabil (marah). Sebaiknya, pasangan boleh mengasingkan diri seketika untuk meredakan kemarahan masing-masing, siapa yang reda (hilang kemarahan) dahulu dialah yang harus menjadi "Pemujuk pasangan yang merajuk"

Suami harus dahulu mengalah, simpan saja marah itu.
kalau isteri merajuk, suamilah pujuk. kalau suami merajuk, isterilah pujuk. kalau dua-dua merajuk, anak-anaklah yang pujuk kot? hehe.. Kalau tak makan saman juga, "hantar saya balik ke rumah mak!" hihi..

Dalam situasi (2) ini, aspek paling utama yang perlu dipraktikkan adalah tolak ansur. Jika masing-masing mahu mempertahankan kemarahan, saya dapat bayangkan, bukan kuali dan pinggan sahaja yang berterbangan, bahkan tong gas juga mampu dihayun oleh isteri kepada suami, percayalah!

3- KETIKA SUAMI DALAM PERASAAN GEMBIRA, MANAKALA ISTERI SEDANG MARAH ATAU BERSEDIH

Dalam situasi ini, suami tidak dapat tidak mesti bertolak-ansur dan beralah. Mesti "berkorban" telinga untuk menjadi pendengar setia. Langkah yang paling bijak adalah, suami harus mendalami apa yang dirasai oleh isteri, menunjukkan rasa empati & sedikit rasa simpati. Kalau isteri bersedih kerana dimarahi oleh boss, suami juga harus menjiwai suasana itu. Kalau isteri bersedih kerana kucing kesayangannya mati, suami juga mesti merasai kesedihan itu.

Pujuk isteri dengan sesuatu yang pernah menggembirakan dia. Namun, sebelum memujuk, pastikan kemarahannya tidak berada dikemuncak, biarkan marahnya terlerai sedikit. Kalau isteri yang sukakan bunga, hadiahkan mereka sekuntum bunga yang disukai, kalau yang meminati kek, tempahlah sebuah kek khas untuk mereka, kalau yang sukakan barangan kemas? fikir dulu, silap-silap haribulan perang besar jadinya.

Suami harus "menjiwai" kemarahan atau kesedihan yang di alami oleh isteri
Wanita kebanyakkan akan "cair" dengan kata-kata suami & kuntum bunga. Ada wanita yang hatinya lembut, dengan kata-kata saja, marahnya mudah hilang. Terpulanglah pada pasangan masing-masing untuk memujuk.

Jangan pula suami sengaja bergelak-tawa di hadapan isteri, kononnya nak meleraikan kemarahan isteri, silap hari bulan "tidur" di ruang tamulah jawabnya.

4- KETIKA ISTERI DALAM PERASAAN GEMBIRA, MANAKALA SUAMI SEDANG MARAH ATAU BERSEDIH

Sama seperti situasi ke (2), suami dianugerahkan oleh ALLAH akal yang mampu mengawal emosi, jadi gunakanlah kelebihan itu untuk tidak berlebih-lebihan dalam marah.

Jangan jadikan isteri tempat melampiaskan kemarahan, mereka tidak bersalah. Mungkin mereka telah cuba memahami hati si suami (yang sedang marah) tetapi tersalah cara hingga membuatkan suami bertambah marah. Isteri sudah berusaha memujuk, suami pula mesti menghargai usaha mereka. Kalaupun kemarahan suami masih tidak hilang, apa salahnya jika "buat-buat" senyum, sekurang-kurangnya ia sebagai motivasi dan jalan kecil untuk mengurangkan rasa marah.

Orang lelaki kalau sedang marah, mereka tidak sukakan suasana yang bising & serabut
Isteri pula harus memainkan peranan sebagai "agen pemujuk". Ketika ini, jangan lakukan apa yang tidak disukai oleh suami atau apa sahaja yang boleh menambahkan lagi kemarahan suami, seperti banyak bercakap. Orang lelaki apabila sedang marah, mereka tidak suka suasana yang bising, mereka perlukan suasana yang sunyi & tenang, marahnya akan segera hilang. Orang lelaki kalau tidak dipujuk pun boleh hilang marahnya. Tetapi kalau dipujuk, mereka lebih cepat reda.

Sama sahaja, isteri harus melakukan sesuatu yang mampu mengembalikan senyumnya. Mood seorang lelaki akan mudah ceria jika diransang dengan suatu yang disukai. Masakkan makanan kegemarannya, itu jalan yang paling mudah untuk menambat semula hati suami yang sedang berduka.

KESIMPULAN

Begitulah lumrah kehidupan suami isteri, ada masanya suami harus mengalah, ada masanya isteri pula harus mengalah. Mengalah dalam erti kata berusaha untuk menjernihkan suasana. Suami yang mengalah tidak rugi, isteri yang memujuk juga tidak rugi, keduany saling memerlukan antara satu sama lain. Jika masing-masing tahu menjaga hati pasangan mereka, bahagia akan berpanjangan sampai ke syurga.




June 23, 2011

Kita Semua Manusia



Bila kita terbuat salah, cepat-cepat kita kata, 'saya pun manusia juga'. Tapi bila orang lain yang buat salah, kita tak mahu pun terima kenyataan yang sama.


Kita sedar kita tak sesempurna mana. Tapi kita sering mengharapkan kesempurnaan. Sedarkah kita orang lain juga tidak sempurna seperti kita?


Kita semua manusia. Kita semua buat silap. Terimalah kesilapan orang lain. Bukankah serendah-rendah tahap ukhuwah itu - berlapang dada?


Untuk segala kata, bicara, kerling mata dan riak muka kami yang melukakan sahabat-sahabat, sepuluh jemari kami atur, mendambakan kemaafan dari kalian. Moga ada ruang untuk menerima kata maaf dari kami, di hati kalian.


Semoga, tiada dendam di hati.




Kerana kita semua manusia juga. ~


_____________________________

"Pada mata orang yang berjiwa kerdil, persoalan kecil terasa besar, dan pada mata orang yang berjiwa besar, persoalan besar terasa kecil."
- Al-Mutanabi _

Siapa Saya ?



SEMALAM, HARI INI DAN ESOK, SIAPA SAYA?


SIAPA SAYA?

Apabila ditanya soalan mudah sebegini pada empunya diri, pasti mudah untuk kita menjawabnya, kan? Kita akan jawab nama kita. Mudah saja. Misalnya saya. Jika ditanya siapa saya? Maka dengan senang hati saya akan menjawab, saya Harlina Bt Mohd Nor.

Soalan mudah. Jawabannya pun mudah. Tetapi cuba kalau soalan mudah ini tidak ditanyakan pada kita, sebaliknya ditanya kepada orang lain. Siapa Harlina? Agak-agak anda, adakah yang mengenalinya?
Pasti ramai yang menjungkit bahu. Entah! Tak tahu! Dengan dahi juga berkerut seribu. Itu sangat pasti.
Ada yang tahu pun, mungkin masih ragu. Oh! Harlina yang begitu beginikah? tanyanya pula pada sang penanya, mahu kejelasan. Ataupun, bagi yang kenal, barangkali akan menjawab begini, Harlina tu yang orangnya begitu begini.

ADA APA PADA NAMA

Kalau Harlina ini baik orangnya, maka baiklah gambaran yang digambarkan. Namun, andai sebaliknya, bukankah malu diri sendiri pula? Hairannya kalau ada pula yang merasa bangga!
Jika disebut nama Justin Bieber, pasti kita kenal bintang yang lahir dari You Tube terhangat ini. Terbayang raut wajahnya. Terngiang-ngiang lagu dendangannya. Terkenang-kenang persembahan pentasnya dan anugerah yang diraihnya. Segalanya tentang manusia bernama Justin Drew Bieber, kita tahu. Hanya dari namanya sahaja.

Begitulah juga dengan kita. Setiap kita ada nama. Dan dengan nama itulah kita dikenali. Kita ditakrifkan. Kita diertikan.

Ada yang namanya sedap disebut dan setanding paras tetapi budi bahasanya kurang dan tonggang-langgang. Ada pula yang namanya bagus, tetapi diubah-ubah menjadi nama lain. Seakan-akan malu dikenali dengan nama sendiri. Ada pula, namanya biasa sahaja, tetapi menjadi insan yang luar biasa hebatnya. Sebut sahaja namanya, semua pasti kenal dan tahu siapa dia. Sedangkan dalam satu segi yang lain, kita yang bernama sama seperti dia, biasa-biasa sahaja. Macam tidak ada yang istimewa.

Betullah, kan? Semua yang ada nama baik-baik itu hari ini, telah mengindahkan hari-hari semalamnya. Kalau ada pun mereka pernah terconteng diari mereka, sikit saja. Cepat-cepat mereka padamkan dan buat lakaran baru. Buat yang cantik-cantik. Bagus-bagus. Hebat-hebat.
Cemburulah pada hari ini mereka yang indah!

LUKISLAH PELANGI UNTUK ESOK!

Benarlah, kehidupan kita di hari ini – senang, susah, berjaya atau gagal, obes atau kurus; adalah kerana semalam yang kita lalui. Kita mencorakkan hari ini kita, semalam. Baik yang kita corakkan semalam, baiklah hasilnya hari ini.

Iya, mana mungkin bayang-bayang bengkok terhasil dari benda yang lurus. Kerana itu, kita perlu memilih rupa esok kita. Mahu esok kita indah berwarna-warni, maka hari ini lukislah pelangi. Mahu esok kita kelam dan suram, biarkan hari ini kita kelabu dan beku.

Dari situlah, diri kita ditakrifkan. Bayangkan kalau dalam diari semalam kita banyak tercatat segala yang bukan-bukan yang kita lakukan. Adakah kita ini akan ditakrifkan sebagai insan yang baik-baik? Anda memilih untuk menjawab bagaimana? Jawab ya, bermakna, kita harus memutihkan diari hari ini. Jika dijawab tidak, sambil berhujah sinis, “ada aku kisah?”, maka kanvas hidupnya akan begitu-begitu sahajalah, gayanya.
Mahukah esok, nama dan diri kita digandingkan dengan label yang mengaibkan? ”Kenal si A tu?”, tanya si polan. ”Oh, si A yang kaki ponteng kerja tu? Siapa tak kenal!”, jawab yang seorang lagi.

Atau mungkin juga dialognya begini:

A : Itulah si D, yang saya ceritakan sebelum ni.
B : D? D yang suka keluar malam tu ke?

Aib bukan, jika itu tentang diri kita? Si A ditakrifkan sebagai seorang kaki ponteng. Si D pula kupu-kupu malam. Sudah tentu kita tak mahu kita dikata-kata sedemikian. Acapkali juga, jika diri kita diperkatakan orang tentang yang buruk-buruk itu, kita akan marah dan melenting. ’Ish! Asyik cari salah saya sahaja’, getus hati kita.

Memang. Seperti yang telah kita baca sebelum ini, bayang bengkok bukan terhasil dari benda yang lurus. Jika kita tak suka kita dinilai segala yang tidak elok itu, baiklah kita mengelokkan diari kita hari ini.
Kita barangkali cuma ada hari ini sahaja. Semalam sudah lepas. Seminit tadi juga sudah berlalu. Esok kita tak tahu, kita ada masa lagi atau tidak. Kerana itu, usah tunggu-tunggu lagi untuk melakarkan warna pelangi. Jangan biar hari ini terlepas pula. Andai kita terlewat, takut-takut kita hanya melihat pelangi pada esok orang lain. Sedangkan kita hanya diarak mendung tak berwarna.

Rupa paras bukan ukuran esok kita adalah cerah dan indah. Tetapi isi diari hidup kita yang pentingnya. Indah rupa, belum tentu ditemani bahagia. Tetapi jika hari ini kita penuhkan dengan yang baik-baik, semua yang ada rupa pun akan cemburu sama.

Biarlah diri kita pula dicemburui kerana warna-warni pelangi hidup kita pula. Mesti seronok!

sumber gambar: Google

TAKRIFLAH DIRI SENDIRI

Hari ini, andai terasa agak suram, cuba toleh pada semalam. Lihatlah siapa kita semalam. Pasti ada kena-mengena. Usah salahkan orang lain. Sebab tiada siapa berhak memaksa kita memilih jalannya. Kalau salah, kitalah yang sengaja ke situ. Sebab ini hidup kita, kitalah yang pilih.
Dan hari ini juga jika warna hidup kita pudar, inilah masanya untuk menukar warna itu. Biar esok terang dan gemilang! Sesudah itu, jika ditanya lagi siapa saya, pasti kita boleh menjawabnya dengan bangga dan besar hati. Sekalipun orang lain yang bertanya tentang kita, sudah tidak risau lagi.
Sebab kita sudah mentakrifkan diri kita sebaiknya untuk hari ini dan esok.
Semoga nama kita yang cantik, sehebat tuan dirinya!


May 19, 2011

Orang Perempuan


"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"

"Staf aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti takut patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada 'sayap kiri' kepada masyarakat. Baginda ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara 'protes' tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih 'bengkok' daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu 'penyempurnaan'. Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaanusus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat 'pelindung'. la melindungi organ-organ penting di dalain tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanansepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud 'tulang rusuk yang bengkok' itu ialah sifat 'rahmah'. Ini bermakna bengkoknya wanita ialah sifat semulajadi yang Allah ciptakan untuk wanita agar dia dapat memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh lelaki. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan."

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat. Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim. Sebenarnya tiada siapa yang 'bengkok' mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya. Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih 'bengkok' daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok' daripada semua orang lain di muka bumi ini... "

Moralnya:


Manusia sebenarnya lebih kenal orang lain berbanding diri sediri, dengan sebab itu mereka lebih nampak kecacatan orang lain berbanding kecacatan diri sendiri.