March 27, 2011

Wanita adalah manusia yang ‘jiwa-jiwa’




Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.


wanita & air mata ibarat irama dan lagunya

Orang lelaki kalau jarang menangis, itu tidak pelik dan perkara biasa sahaja. Tetapi, jika lelaki kerap menangis, maka ia luar biasa bagi mereka.

Orang perempuan kebiasannya kerap menangis, maka ia adalah fitrah. Lalu, wanita dan air mata adalah sinonim serta tidak dapat dipisahkan. Hilangnya air mata wanita, akan hilanglah senjata mereka. Kerana seluruh kehidupan mereka bergantung kepada perasaan. Kata pepatah orang putih: “Apabila wanita menangis, maka dunia akan berhenti seketika”, Kerana apa? Kerana apabila wanita menangis, semua orang jadi kelam-kabut.

Sangat hebat kuasa tangisan seorang wanita!

Wanita adalah manusia yang ‘jiwa-jiwa’ kerana emosi yang dikurniakan kepada mereka lebih banyak daripada lelaki. Hati mereka dengan hati lelaki sangat berbeza cipataannya, dan air mata mereka mempunyai sambungan yang rapat dengan perasaan serta hati mereka. Percayalah, bahawasanya tangisan seorang wanita terbit daripada hati, berbeza dengan lelaki yang air matanya keluar tanpa ada tempat tertentu.

Kaum Adam jangan marah jika ana katakan bahawa kebanyakan orang lelaki memang tidak reti untuk menangis kerana hati mereka tidak selembut hati wanita. Kalaupun mereka menangis, jarang sekali tangisan itu datang dari hati, mungkin sekali sekadar mengambil hati, awas! :)

Sejak kecil orang lelaki telah diajar agar tidak lekas menangis, kerana itulah apabila telah menginjak dewasa, mereka meletakkan tabiat menangis sebagai satu picisan, dicampur pula dengan sikap ego dalam diri mereka. Sampaikan apabila berlaku kematian pun mereka lebih sanggup menahan air mata daripada menangis di hadapan khalayak.

Katanya tidak macho kalau orang lelaki menangis. ‘Apa baranggg!’

Sesuatu yang unik pada tabiat menangis ini adalah kita tidak perlu disuruh untuk menangis tetapi kita akan menangis apabila kita sendiri yang mahu. Walau dipaksa dengan cara apa sekalipun, kita tak akan mampu menangis tanpa kerelaan hati sendiri. Kerana air mata adalah suatu yang mahal dan ia tidak boleh dikeluarkan tanpa sebab atau tanpa kerelaan hati.

Unik bukan? Percaya atau tidak, anda boleh mencubanya selepas habis membaca tulisan ana ini nanti. Bukan sekarang!

Uniknya pada emosi seorang wanita juga, jika mereka pernah melalui suatu peristiwa duka dan sedih, apabila diimbas kembali persitiwa itu, mereka mampu membawa rasa itu dengan kesedihan yang sama tanpa kurang sedikitpun. Berbanding pula bila ditanyakan kepada lelaki, mereka akan berkata dengan selamba:

‘Yang lepas tu, lepaslah. Usah dikenang lagi’


Dan keunikan tersebut telah dikurniakan pada wanita yang jarang ada pada orang lelaki. kalau adapun terlalu sedikit, satu dalam ribuan lelaki.

Mungkin tidak salah jika ana sebutkan bahawa hobi wanita adalah menangis, sebab itulah wanita dan air matanya tidak dapat dipisahkan, bila wanita tidak menangis, dia akan merasa sedih dan akhirnya akan menangis juga, aduhai..

Apabila mereka sedih mereka menangis, apabila mereka takut mereka akan menangis, dan apabila mereka gembira mereka juga akan menangis!

Kalaulah Ahmad Albab tahu, maka malulah seluruh kaum Hawa.

SALAHKAH MENANGIS?

Kalaulah dunia ini hanya dihiasi dengan ketawa semata-mata, akan hilanglah seri kegembiraannya. Kerana nikmat kegembiraan terhasil apabila kita sudah merasai sakitnya kesedihan. Lalu, menangis adalah satu keperluan dalam kehidupan bahkan nyawa untuk seorang wanita (wanita lagi).

Menangislah untuk kebaikkan, kerana ia bisa membuahkan pahala dan membasuh dosa. Seorang yang menangis kerana ingin kembali ke pangkuan jalan yang benar dan bertaubat, air matanya adalah sebagai pemadam api neraka di akhirat kelak.

Tangisan munajat daripada seorang hamba yang sangat merindukan Tuhannya adalah tangisan yang mempunyai darjat yang paling tinggi. Syukur dan redha yang mampu mengeluarkan setitis air mata tandanya kita menghargai segala pemberian Tuhan.

Menangis tidak salah, yang bersalah apabila kita tidak pernah menangis kerana rasa bersalah. Ana yakin, wanita lebih faham dengan ungkapan ini.

Dan juga tidak salah kepada orang lelaki untuk menangis, kerana Nabi kita Muhammad saw adalah seorang manusia yang mudah menangis, tangisannya bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga buat umat yang baginda sayangi.

APABILA WANITA MENANGIS

Air mata adalah nilai yang paling besar pada seorang wanita, kerana itu mereka akan menangis sekiranya terjadi sesuatu yang besar dalam hidup mereka. Orang lelaki mestilah faham, jalan terakhir bagi wanita untuk melauhkan sesuatu adalah melalui tangisan mereka kerana mereka sudah tidak mampu untuk meluahkannya melalui kata-kata atau bicara.

Percayalah, mereka tidak akan menangis jika mereka masih berupaya untuk mengungkap sesuatu dengan lisan.

Ada segelintir wanita yang menangis kerana sikap concern, carring atau sifat kepedulian yang dikurniakan kepadanya sangat tinggi. Misalnya apabila mereka merasakan mereka tidak mampu untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada orang yang disayanginya, mereka akan menangis kerana kekurangan tersebut. Wanita seperti ini, mempunyai hati dan perasaan yang sangat halus serta lembut. Walaupun bukan kerana kesilapannya mereka akan mampu menangis.

Ada juga sebahagian wanita yang menangis kerana dia dihimpit dengan pelbagai kekacauan yang mengganggu hatinya. Pendek kata, mereka menangis kerana terlalu tertekan atau stress. Bagi mereka, dengan jalan menangis mereka bisa menghilangkan semua bebanan tersebut. Ternyata ia adalah langkah yang tepat, kerana apabila mereka menangis emosi mereka berada di tahap yang paling bawah dan akhirnya akan reda dengan sendirinya. Siapa yang sudah merasainya, dia akan mencapai satu kepuasan selepas menangis. Tak percaya? Tanyalah kepada para wanita, ana yakin majoriti akan menjawab YA!

Ana kurang bersetuju jika ada orang lelaki mengatakan wanita menangis tanpa alasan dan sebab.

Wanita adalah seorang yang sensitive dalam kebanyakan perkara. Disebabkan emosi yang dikurniakan kepada mereka berbeza dengan lelaki, hidup mereka lazimnya dipengaruhi oleh perasaan. Tidak hairanlah jika ada wanita yang menangis hanya kerana melihat orang lain menangis. Setiap moment boleh menjadi bahan untuk tangisan mereka. itulah wanita.

Ketahuilah, apabila wanita menangis, mereka hakikatnya memerlukan perhatian daripada orang yang hampir dan rapat dengan mereka. Jika seorang isteri sedang menangis, sesungguhnya ketika itu dia sangat memerlukan seorang suami berada disisinya untuk mengadu. Jika seorang adik sedang menangis, dia sebenarnya sedang bersedih dan mencari seorang abang untuk menghilangkan rasa dukanya. Apabila seorang sahabat atau kawan anda menangis, dia sedang berharap agar ada seseorang atau sahabat yang hampir dengannya menemani dan memberikan kepadanya sesuatu yang bisa mengembalikan semula semangatnya.

Arakianlah manusia yang dinamakan perempuan dan wanita, ciptaan mereka yang terlalu unik ini menjadikan mereka insan yang sukar untuk difahami misteri kejadian mereka. Tangisan mereka menyimpan pelbagai makna yang tidak bisa diketahui oleh orang lelaki.

Ingatlah pesan ana,

Apabila anda telah membuatkan wanita menangis, anda adalah sebahagian daripada isi hatinya. Oleh yang demikian, jangan sesekali biarkan mereka menangis kerana anda. Ketika hatinya sedang menangis, air matanyalah yang menzahirkan apa yang terbuku di hati.

Siapa lagi dihatinya kalau bukan anda yang memaksa mereka untuk mengalirkan air mata!!

Di saat ini lah kami (wanita) memerlukan perhatian daripada orang yang hampir dan rapat dengan kami ~
________________________________


March 26, 2011

yang baik tetap dengan yang baik, usahlah risau!



Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.



CERITERA i

Kata orang, memilih kekasih hati jangan terlalu ideal. Sempurna sifat dan anggota, tampak tenang bila menatapnya sudah memadai. Jika cantik, manis, comel dan menawan itu sudah sebagai satu bonus. Lelaki pun begitu jua, masa memilih jangan terlalu semberono kerana lelaki adalah nakhoda kapal, mesti gagah meskipun dilanda apa-apa jua badai. Kadangkala, si dara mudah tertipu dengan ketampanan sahaja, terlupa mahu menilik-nilik sikap dan perangai lelaki, akhirnya tewas dan baru tersedar bila sudah tinggal sebumbung.

Jangan apabila sudah terpelosok begini dan terngadah, hati si isteri barulah berbunyi rintih sayu: ‘Kenapa suami aku bersikap begini?’

Atau suami pula yang memendam rasa,

‘Aduhai isteriku, tolonglah fahami diriku’

Agaknya, keluhan begini sudah terlewat untuk dihambur-hamburkan. Tinggal hati yang sekeping duduk melayan gundah, memujuk jiwa supaya tidak merajuk. Akhirnya, tatkala hati terus menambah rajuk, mulut terlintas dengan kata: ‘Kalaulah suami/isteri-ku begini dan begini…’

Seorang hamba ALLAH bila ditanya, ‘mahukan orang rumah yang bagaimana nanti?’ jawabnya bersahaja, kerana dia hanya seorang pelajar bahasa, lalu tastenya pun tidak bolehlah terlalu tinggi sedangkan hati teringin mahu menikahi seorang ustazah, bukan sahaja faham tentang agama tetapi boleh juga memandu dirinya dan anak-anak nanti. ‘Yang biasa-biasa sudahlah, yang memahami. Tapi kalau dapat yang lebih baik, apa salahnya’ YA, sudah dikatakan tadi, dia juga mahukan yang baik-baik seperti ustazah.

‘Maknanya, mahukan ustazah jugalah?’

‘Kalau ada yang sudilah’ Jawabnya tersipu-sipu malu, hidung kembang dan merah pipinya. Ohh, teringinkan ustazah rupanya. Biarlah, itu kesukaan dia. Tapi mesti beringat, bukan ustazah sahaja yang boleh memberi agama dan bahagia, doktor, cikgu matematik, jurutera, kerani juga mampu menjadikan sebuah rumah tangga itu bernilai agama bahkan lebih bahagia daripada itu. Belum cuba belum tahu.

Soalnya bukan beria-ria mencari yang baik dahulu, tetapi harus menjadi yang baik barulah dapatnya yang baik-baik nanti. Kalau kamu sendiripun tidak berketayap dan berseluar koyak, jangan pula sibuk mengkritik tudung orang perempuan dan ada terlintas di hati mahukan wanita yang bertudung labuh.

Masakan TUHAN tidak tahu erti keadilan dan sekufu, kerana itu dijanjikan wanita solehah hanya untuk lelaki yang soleh sahaja. Air tak akan bercampur dengan minyak, dan lalat hanya akan hinggap pada sesuatu yang kotor seperti najis, itu sudah fitrah alam dan peraturan sunnatullah.

Pendek kata, yang baik tetap dengan yang baik, usahlah risau!

Nota: carilah wanita atau lelaki yang beragama, atau yang mahukan agama, yang pada tingkah-lakunya mempunyai agama, yang ada pada hatinya rindu agama, yang hidupnya nanti sentiasa membawa agama sebagai pembimbing. Itulah nanti yang akan memberikan cahaya suri di dalam rumah tangga dan penyerah suri agama walaupun dia hanya seorang gadis kampung!

Habis.


CERITERA ii

Seorang sahabat ana dahulu berkongsi cerita apabila cintanya ditolak setelah sekian lama mengikat janji. Tetapi dia tidak muram walaupun ana mengerti hatinya sedih dan berat menanggungnya. Ana sendiri sudah merasakan situasi itu, andailah anda ketika itu sedang belajar, terasa seperti mahu berhenti belajar, hidanglah apapun jenis makanan yang lazat di hadapannya, terasa seperti melihat najis, tiada selera! Tidak hairanlah kalau anda dapat bayangkan, jika yang putus bercinta itu sedang duduk di bangunan tinggi, mahunya tidak terjun ke bawah? Mati dan sakit itu nombor dua, yang penting luka dapat dipadamkan.

Kuatnya penangan cinta.

Namun bukannya dia tidak tahu, wanita yang ada di muka bumi ini bukan seorang sahaja, bahkan lebih dari seorang. Boleh sahaja jika cinta yang lama dan dilukai itu dialihkan kepada cinta baru yang lebih baik. Ah! Kata Pepatah Melayu sangat kuat meracuni fikiran orangnya iaitu Melayu sendiri ‘Kumbang Bukan Seekor, Bunga Bukan Sekuntum’ Pepatah itu bukan lagi menjadi pemujuk hati yang berdarah, tetapi sudah menjadi barah.

Tetapi, sahabat ana yang seorang itu tidaklah begitu, dia seorang yang kuat. Jodoh itu TUHAN yang berkuasa berikan, siapapun pilihan dia, TUHAN lebih berhak memilihkan jodoh untuknya. Akhirnya, dia menemui pilihan hati yang sempurna pada pandangan ana.

Baik akhlak serta budi pekertinya ~

Kita sebagai manusia diberi peluang untuk mentadbir kehidupan dengan kuasa sendiri tetapi dalam masa yang sama takdir ALLAH lebih menguasai sekalian tadbir manusia. Jika Hitam yang sudah tersurat dalam diari Tuhan, maka segala warna daripada tadbir manusia akan terpadam.
Manusia disuruh yakin dengan keputusan sendiri, tetapi mesti juga meletakkan keyakinan pada kekuasaan TUHAN lebih hadapan daripada segalanya.

Tidak mustahil, ada orang yang bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Semuanya lain-lain.

Itulah jodoh – Luar biasanya kerana ia adalah susunan TUHAN yang manusia tidak sempat memikirkannya. Apapun, ia tersembunyi dengan hikmah yang banyak.

Nota: cinta bukan syarat untuk menilai ketentuan jodoh. Kalau sudah jodoh tak akan lari ke mana-mana. Kata orang, bercinta dengan orang lain, berbini dengan yang lain. Itulah kuasa TUHAN, tidak semestinya yang sudah mempunyai pasangan hati akan berkahir di kerusi pelamin.

Habis.


CERITERA iii

‘Jadi, tak bolehlah bercouple?’ soalnya.

‘Kamu sendiri sudah tahu. Kamu juga seperti saya, belajar agama’

Bulan Februari yang lalu, orang sudah mulai sibuk. Lebih-lebih lagi yang sudah berpacaran. Hari mengingati kekasih semakin dekat, Valentime Day. Bukan orang ISLAM sahaja yang suka-suka mahu menyibukkan diri untuk kekasihnya, yang sedang menuntut degree Quran Sunnah juga turut mengambil bahagian, tetapi mereka lebih profesional supaya nampak Islamik.

‘Dah terima hadiah Quran dari saya?’ tulisnya di dalam pesanan ringkas SMS.

‘Untuk apa hadiah ini?’ si dia pula membalas.

‘Saja-saja. Just penghargaan perkenalan kita’

Lembut sahaja kata-katanya. Tetapi kenapa mesti 14 Februari? Bercouple itu sudah pun salah, ditambahkan lagi dengan kesalahan menyambut hari kekasih. Namun, era kini sudah semakin canggih, kalau tidak berhadiah pun tidak mengapa. Hantar sahaja kata-kata cinta melalui telefon Bimbit, hati si kumbang akan berbunga. Hati si bunga sudah kembang kuncup.

Kalau tidak percaya, tengoklah nanti. Malam yang ana katakan itu pasti akan menjelma. Bakal melahirkan lagi beratus-ratus anak luar nikah dan bakal mengorbankan seberapa ramai anak gadis Melayu dan Islam. Remaja bukan sudah tidak tahu akan agama, tetapi perisai diri yang dipanggil MALU sudahpun hilang. Tinggal lagi mereka tidak berbogel dikhalayak ramai, kalau itu dibenarkan seperti di barat, maka akan haru-birulah Malaysia.

Bercinta tidak salah jika laluannya tepat. Agama diletakkan di hadapan, nafsu di letakkan ke belakang. Barulah cinta itu terpimpin.

Namun, ana belum pernah mendengar bahawa couple itu telah dibenarkan dalam agama ISLAM. Kalaulah benar ia sudah ‘dihalalkan’, mungkin ana sendiri yang tersilap dengar.

Nota: ISLAM mengajar cara bercinta yang lebih hakiki. Cinta yang diajar itu bersih dan tenang. Walaupun tanpa hadiah dan penghargaan, cukup sekadar dilandasi dengan kepercayaan dan kejujuran, pasti akan bahagia di hujungnya nanti.