Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W, keluarganya dan sahabatnya.
Astaghfirullah al-azim.
Kenapa sejak akhir-akhir ini ada sahaja bisikan yang tidak baik di cuping telinga ini? Ada sahaja fikiran yang negatif acap kali berlegar-legar di fikiran? Semakin serabut rasanya. Benarlah kata ibu saya. Syaitan tidak pernah berputus asa untuk membolak-balik hati ini. Lebih-lebih lagi jika kita berusaha ke arah kebaikan. Berusaha melakukan sesuatu yang diredhai Allah S.W.T. Ada sahaja usaha yang dilakukan oleh syaitan laknatullah ini. Tambahan lagi jiwa saya yang lemah ini. Sering sahaja tewas dengan bisikan-bisikan jahat syaitan.
Saya tertanya-tanya kenapa saya sering kali berasa gundah, resah dan tidak tenang. Saya asyik teringatkan sesuatu dan mengharapkan benda yang tidak pernah pasti dalam hidup saya.
Kenapa saya berasa sedih, berdosa dan benci akan diri sendiri? Kenapa saya rasa hidup saya mula kosong. Tidak seperti dulu. Hidup saya rasa tenang dan gembira.
Ya. Saya sudah mendapat jawapan dari permasalahan ini.
Saya mula jauh daripada Pencipta saya. Allah S.W.T. Saya mula melangkah jauh meninggalkan Ilah. Sebab itu saya berperasaan begini. Lemah. Jiwa kacau. Ampunkanlah hamba-Mu yang lemah ini, Tuhanku.
“Dan mohonlah ampun daripada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa’ 4:106)
Ya Allah. Kenapa saya jadi begini? Kenapa saya lupa bahawa hati ini hanya milik-Mu? Saya tidak mahu hidup dalam keadaan jahiliyah seperti dahulu. Hidup tanpa arah. Hidup tanpa mengerti apa makna kewujudan saya di dunia ini. Tidak, saya tidak mahu menoleh kebelakang lagi! Kembali ke zaman gelap itu! Ujian kali ini sangat berat untuk saya pikul. Terasa lemah dan longlai.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah 2:214)
Saya hanya mahu menuju ke cahaya Ar-Rahman. Tidak mahu ditelan kegelapan yang direncanakan oleh Iblis untuk menyesatkan hamba-hamba-Nya.
Saya perlu mencari kekuatan untuk bangkit semula. Mengkoreksi diri. Muhasabah diri.
Bangun wahai diri. Jangan kau campakkan diri kau ke dalam lubang hitam itu. Jangan kau ikut kata-kata syaitan yang sentiasa inginkan kau sesat bersamanya menuju ke neraka.
Tidak! Syurga mesti kau tuju! Syurga Allah adalah matlamat hidupmu.
Allah S.W.T berfirman: Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi lebih tenang. (Ar-Ra’d 13:28)
Ya. Hanya mengingati Allah, hati ini bisa menjadi tenang dan damai.
Hanya Allah S.W.T yang memiliki hati ini.
P/S: Entri ini saya karang di kala hati saya menjadi rawan dengan perbuatan saya sendiri. Saya seakan-akan mula lupakan Allah S.W.T tatkala hidup saya mula senang tanpa masalah. Mungkin ini ujian daripada Nya supaya saya mengingati kembali Pencipta saya. Sesungguhnya, Allah S.W.T memang sayangkan saya. Saya yang lemah dan sentiasa alpa. Alhamdulillah.
Entri ini juga saya tujukan buat diri saya sebagai peringatan. Sentiasa berhati-hati dalam merencana hidup. Sentiasa tabah dalam mengharungi dunia yang penuh onak dan duri.
Entri ini juga saya tujukan buat seorang sahabat saya yang sedang mencari-cari arah dan cahaya Allah S.W.T dan juga buat seorang hamba Allah yang telah sudi berkongsi masalah dengan saya tempoh hari. Terima kasih kerana mempercayai diri saya. Saya doakan kita semua berjaya menggapai kasih-sayang Allah yang abadi itu. Insha Allah.
Saya tujukan juga entri ini buat seseorang yang sentiasa setia melayan karenah saya yang tidak matang ini. Saya rasa bersalah terhadap dirinya kerana selalu sahaja saya sakitkan hatinya. Selalu membuat dia berasa sedih dengan kata-kata saya. Maafkan saya. Saya tidak pernah berfikir akan kesan dari tiap butir bicara dan perbuatan saya. Berilah saya peluang untuk memperbaiki diri saya. Saya akan berubah.
Wallahualam.
Wassalam.