Soalan :
Apakah hukum seseorang Islam yang membuat keputusan untuk bertapa di tempat sunyi dalam tempoh tertentu untuk meningkatkan ilmu pertapaan dan mendalami perkara ghaib.
Apakah hukum seseorang Islam yang membuat keputusan untuk bertapa di tempat sunyi dalam tempoh tertentu untuk meningkatkan ilmu pertapaan dan mendalami perkara ghaib.
Jawapan:
Bertapa, suluk, uzlah dan khulwah adalah satu perbuatan yang bermaksud bersunyi-sunyian di satu tempat yang jauh dari keluarga dan masyarakat dalam tempoh yang tertentu. Ulama Islam mempunyai pendapat yang berbeza dalam hal ini.
Kebanyakan mereka yang zuhud menyatakan uzlah itu lebih baik dari bermasyarakat dengan membawa hujah dari hadis Rasulullah SAW yang diceritakan oleh Uqbah bin Amir R A yang bermaksud "Aku bertanya "Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk selamat? Sabda baginda: Peliharalah lidahmu, diamilah rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu (at-Tirmizi)
Hujah golongan kedua pula ialah hadis Nabi SAW yang bermaksud "Seseorang mukmin yang hidup bergaul dengan orang ramai dan bersabar atas kerenah mereka, lebih baik daripada yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar atas kerenah mereka (at-Tirmizi)
Uzlah ini ada kebaikan dan ada keburukannya seperti dapat menumpukan sepenuh masa kepada ibadat dan merasai nikmat munajat kepada Allah SWT. Dapat melepaskan diri dari empat jenis maksiat yang timbul hasil dari pergaulan iaitu mengumpat, tidak menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran, riya' dan terpengaruh dengan akhlak buruk tanpa disedari. Dapat menyelamatkan diri dari fitnah dan permusuhan jika berlaku perselisihan pendapat antara beberapa golongan masyarakat. Bebas dan selamat dari kejahatan manusia seperti perasaan dengki, sakit hati orang lain. Tetapi jika seseorang itu bertapa atau beruzlah dengan ilmu syariat masih belum mantap atau dia seorang guru yang perlu mengajar penuntut, maka uzlahnya adalah sesuatu kerugian kerana tidak dapat belajar atau mengajar ilmu itu. Orang beruzlah juga tidak dapat mengambil manfaat dan memberi manfaat kepada orang lain atau mendidik diri sendiri dan orang lain iaitu mendapat pahala untuk diri sendiri serta membantu orang lain mendapat pahala.
Adab beruzlah antaranya ialah mempunyai niat menghalang kejahatan terhadap orang lain dan menyelamatkan diri dari kejahatan orang lain. Sentiasa dalam keadaan berilmu, beramal dan berzikir serta berfikir ketika beruzlah. Berpada dengan kehidupan sederhana. Bersabar dengan kerenah manusia sama ada masyarakat memuji atau mengejinya atas tindakan dilakukan itu. Mempunyai teman soleh untuk menemani dan memberi sokongan sepanjang masa beruzlah. Dan akhirnya apabila berasa sepi kerana beruzlah, maka ia perlu banyak mengingati mati.
Kesimpulannya, pengertian dan pelaksanaan bertapa, beruzlah, bersuluk, berkhulwah di dalam Islam amat berbeza dengan pengertian masyarakat Melayu masa kini apatah lagi jika aktiviti bertapa itu dilakukan oleh golongan yang menghendaki sesuatu yang ghaib atau mahu menguji ilmu yang ada padanya. Oleh itu, masyarakat perlu berhati-hati terhadap persoalan ini, menggunakan konsep dan istilah agama tetapi sebenarnya tidak mengikut kaedah sebenar yang dikehendaki oleh syarak.
No comments:
Post a Comment