RUANG yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, sebaliknya untuk meneguhkan agama yang satu. Benar, Islam adalah agama yang mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seseorang individu saja, tetapi buat semua.
Hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih dan sayang sesama insan. Mengejar impian fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa lalu semangat persaudaraan digadai sebegitu saja adalah sikap yang tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah SWT semata-mata, tetapi juga sesama manusia dan makhluk Allah yang lain.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 112 yang bermaksud: “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah dan sesudah para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas”.
Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan malah juga kasih sayang antara sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.
Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 maksudnya:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
Justeru, ada hak yang perlu dipelihara oleh seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak yang sama dikanunkan oleh manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan agar tiada sesiapa yang teraniaya.
Malah Barat juga turut mendakwa bahawa hak asasi manusia adalah sesuatu yang terbina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang. Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa yang mengejar untung dunia.
Sebaliknya, Islam menitipkan hikmah persaudaraan agar tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba yang tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja. Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan yang tidak membawa kebaikan dan lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.
Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur dan riak, bongkak dan tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah yang dianjurkan oleh al-Quran dan as Sunnah.
Bahkan umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri sehingga akhirnya tiada siapa yang menang malah diperolok dan dihina secara terang-terangan. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: ‘Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu, atau memakan rumput’. – (Hadis riwayat Abu Daud)
No comments:
Post a Comment