February 16, 2011

JANGAN RUNTUHKAN AKHLAK YANG BAIK

Memang wajar kalau terdapat kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka dewasa ini. Kebimbangan ini adalah penting kerana ia akan menjadi sukat-sukat dan benteng untuk menghalang dari berlaku sebarang gejala yang boleh meruntuhkan keindahan dan kebaikan akhlak. Bukannya senang untuk merasakan dan mengalami perasaan sedemikian ini, kerana banyak perkara dan ruang yang boleh sahaja menembusi kubu pertahanan kehidupan generasi muda remaja.

Muda remaja adalah rebung yang menjadi idaman ramai pihak. Sama ada idaman yang baik ataupun sebaliknya. Natijah baik memang mudah untuk kita hadapi namun sebaliknya kita akan merasa cemas, bimbang dan tidak tentu hala tuju kalau natijah negatif yang datang melanda. Justeru semua ibu bapa, sejak anak-anak masih kecil lagi telah dididik dengan sebaiknya agar mereka membesar sebagai orang yang berguna. Berguna untuk agama, bangsa dan negara yang tercinta.

SOSIALISME MASA KINI

Perubahan sosialisme masa kini jelas mengundang banyak kaedah dan pendekatan dalam membentuk kehidupan anak-anak, perlu dilakukan. Kejutan budaya bagi mereka sudah semakin tidak ketara lagi lantaran terlalu banyak kemudahan media yang membolehkan mereka mengikutinya. Sebaliknya ibu bapa pula semakin terasa akan kejutan budaya yang berlaku di sekeliling. Hatta di dalam rumah pun mewujudkan perubahan budaya jika tidak dipantau selalu. Jangan jauh untuk kita ambil perkiraan fesyen pakaian anak-anak di zaman sekarang, kalau tidak diambil peduli akan berubah dengan begitu pantas.

Baju pendek unjuran tidak sampai ke pusat, rambut berwarna sudah semakin menjadi kesukaan mereka. Banyak lagi dengan bermacam kerenah yang semuanya terhasil dari saduran budaya yang melanda generasi kita. Badai semakin terasa dan kita sekarang berdepan dengan suasana yang memerlukan kita bekerja keras untuk menyediakan persiapan yang teguh agar perubahan budaya ini tidak menjadi salutan dalam kehidupan generasi muda remaja kita. Saduran budaya begitulah yang berlaku dalam masyarakat remaja hari ini. Hal ini amat ketara semakin jauh kita melalui kehidupan ini, maka semakin banyak yang dapat ditonton bersama. Pengaruh sedemikian kalau kita amati bersama banyak yang tidak serasi dengan cara dan kehidupan masyarakat kita.

Memasang anting-anting di telinga, bibir mulut dan sebagainya, di kalangan para remaja lelaki juga semakin menjadi-jadi. Lain lagi mewarnakan rambut dengan pelbagai warna hiasan dan seterusnya. Mungkin ibu bapa tidak begitu terasa perubahan yang dilalui oleh anak-anak. Perubahan sosialisme ini ada kalanya menyelinap di rumah-rumah kita. Penyelinapan ini berlaku dengan adanya kemudahan media teknologi masa kini yang semakin canggih. Mudahnya kita memiliki kemudahan media ini begitu ketara sekali. Nyatanya perubahan sosialisme ini juga dipengaruhi oleh perubahan teknologi yang berligar di persekitaran. Kita pula tidak dapat jadi penonton semata-mata, kerana perubahan sedemikian ini juga membawa nilai positif jika ia dimanfaatkan bersama. Cuma kita perlu lebih berhati-hati dalam menangani keadaan ini. Saduran budaya yang berlaku sekarang juga mungkin akan meninggalkan kesan yang tidak bersesuaian dengan apa yang ingin kita wujudkan bersama.

KERUNTUHAN AKHLAK

Keruntuhan akhlak mungkin sahaja akan mudah berlaku dan dapat dirasakan. Justeru kita perlu berani mempertahankan budaya dan identiti kita. Sebuah masyarakat yang teguh perlu kepada ketahanan identitinya. Kerana identiti itu adalah tunjang kepada nilai dan kualiti bangsa dan masyarakat. Jika kita mengiyakan saduran budaya menjadi perencah pertumbuhan hidup generasi muda remaja maknanya kita semakin meminggirkan budaya dan cara kita sendiri. Ini akan membawa kepada implikasi sosial yang merubah struktur kehidupan di hari muka. Bila pengaruh sosialisme mampu merubah pola kehidupan berbudaya maka akan mudahlah perubahan akhlak diresapi. Keruntuhan akhlak berlaku kerana ada serangan sosialisme yang sangat ampuh meruntuhkan nilai-nilai dan kebaikan akhlak.

Justeru generasi muda remaja menjadi tebusan sosial dan pengaruh gejala sosial yang negatif. Tidak dapat tidak timbullah masalah pergaulan bebas, pergaulan akhlak yang tidak beretika dan akhirnya masalah dadah akan melanda. Kenapa gejala dadah menjadi penyerap perubahan sosialisme, ini kerana ia adalah senjata ampuh untuk meruntuhkan tembok akhlak yang kukuh oleh nilainya yang berkualiti tinggi.

Justeru yang menjadi sasaran ialah generasi muda remaja. Di sinilah kita perlu kepada pendekatan yang lebih praktikal dan dinamik. Pendekatan yang praktikal itu ialah membina generasi belia yang bertanggungjawab serta berakhlak mulia. Bila ini dapat diwujudkan agenda pembinaan masyarakat akan lebih mudah ditangani. Penumpuan akan lebih terarah dan kemas kini. Namun jika kita berdepan dengan generasi yang lemah, pasif dan tidak berwawasan, ia akan melahirkan generasi yang bermasalah. Paling atas masalah yang akan ketara berlaku ialah masalah gejala sosial yang negatif. Bukan sedikit jumlah peruntukan yang perlu disediakan dalam menangani isu-isu sedemikian.


TERTINGGAL


Selain dari itu, penumpuan juga terpaksa digembleng yang melibatkan masa, kemudahan dan sebagainya. Hal inilah yang akan menjadikan kita tertinggal dalam membina gagasan generasi yang mampu berperanan sebagai penerus zaman. Selalunya kita akan menjadi terkongkong dalam melayani kehendak sedemikian ini.

Justeru dalam melihat hal-hal sedemikian ini, kita perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita secara berterusan. ‘Collectively Responsibility’ perlu di tanai untuk mewujudkan suasana yang membina. Kita tidak perlu untuk melihat bahawa peranan sedemikian ini adalah tanggungjawab sesuatu pihak. Kita secara pro-aktif perlu menyediakan hala tuju yang lebih dinamik dan progresif, terutama sekali dalam menyediakan program yang menjadi asas pembinaan generasi yang berkualiti.

Bidang keilmuwan perlu diimarahkan sebagai iklim pembelajaran yang lebih kondusif. Kerana tidak dapat dinafikan ilmu itu dapat menjadi penyuluh kehidupan untuk menentukan peta jalan kehidupan yang betul dan salah. Ilmu itu juga tidak semata-mata yang dilahirkan oleh perspektif yang menjurus kepada satu hala akan tetapi ia perlu kepada kepelbagaian. Dari ruang inilah nanti dibentuk keimanan dan ketakwaan untuk menghasilkan akhlak yang baik lagi berwibawa. Kehidupan ini amat berharga, peluang yang kita jadikan landasan hidup juga tidak akan berulang untuk kita tempuhi. Maknanya jika kita gagal dalam menentukan arus dan gelombang kehidupan itu, kita akan menerima akibat dan kesan yang tidak baik.

HATI-HATI

Pengaruh budaya yang tidak sihat yang melanda kita jangan dianggap sebagai perubahan sosial yang boleh diterima pakai sepenuhnya. Kita perlu pandai menentukan kebaikan dan natijah darinya. Kita perlu menyukat sejauh mana kita mampu mewujudkan satu keadaan di mana ketahanan diri boleh diperkuat. Biarlah kita dengan cara kita dan budaya kita orang-orang Brunei. Calak kebruneian biarlah terserlah, kerana didalamnya mengandungi unsur kemuliaan dan ketinggian budi. Keluhuran akhlak dan pergaulan yang terpuji.

Justeru kerana itulah juga, semua pihak merasa terpanggil untuk sering mengingatkan kepada generasi muda remaja, jangan mudah kalah kerana dadah, kerana perubahan sosial yang merosak dan sebagainya. Inilah sebenarnya kebimbangan ibu bapa tentang kenapa anak-anak muda remaja itu perlu sering diperingatkan. Ingatan terhadap dadah perosak kehidupan bukanlah maknanya perkara ini masalah rengan, bibiran kita biar berlaku kerana anak-anak muda remaja mudah lalai dan tidak perasan. Apa yang ada ialah keseronokkan kecualilah bagi mereka yang lengkap persiapan dirinya. Biarkan mereka kuat dan mampu mewujudkan benteng diri yang kukuh dan ini dapat menjadi penghadang kepada keruntuhan akhlak.

No comments:

Post a Comment