Dakwah Islamiyah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW, Ridhwanullahi alaihim, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya.
Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini.
Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud-maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.
Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW sahaja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.
Adakah ini rahsianya?
Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW sahaja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.
Adakah ini rahsianya?
Tetapi Allah SWT telah membuat jaminan untuk memelihara Al-Quran, dan telah mengetahui bahawa dakwah ini boleh tegak selepas zaman Rasulullah SAW pun, juga boleh membuahkan hasil yang baik; lalu diwafatkan-Nya Rasulullah SAW setelah 23 tahun beliau menjalankan tugas berdakwah dan menyampaikan perutusan Ilahi dan Allah SWT akan tetap memelihara agamaNya ini hingga ke hari kiamat. Dengan demikian maka ketiadaan diri peribadi Rasulullah SAW itu tidak boleh dijadikan jawapan di atas kegagalan dakwah di zaman ini.
Yang demikian kita perlu selidiki sebab lain yang menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi pertama itu. Mungkin sesuatunya telah berubah. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.
Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama itu ialah Al-Quran, hanya Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk beliau adalah semata-mata merupakan pentafsiran kepada sumber utama itu.
Ketika Assaiyidah `Aisyah Radhiallahu'anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab: yang bermaksud:
Quote::
“kelakuan dan perjalanan hidup beliau [Rasulullah SAW] itu ialah Al-Quran” (Hadis riwayat Nasai)
Hanya Al-Quran sahajalah yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukanlah kerana umat manusia di zaman itu tidak punya tamaddun, tidak punya kebudayaan, tidak punya pelajaran, tidak punya buku karangan dan tidak punya kajian!
Sekali lagi tidak!
Kerana sebenarnya di zaman itu telah pun ada tamaddun dan kebudayaan Romawi, buku-buku dan undang-undangnya, yang telah dan masih diikut dan dijadikan panduan oleh orang-orang Eropah sampai hari ini.
Di sana juga telah wujud peninggalan tamaddun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan keseniannya, yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang; malah di sana juga telah wujud tamaddun dan peradaban Parsi, keseniannya, sajaknya, syair dan dongengnya, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamaddun lain, seperti tamaddun India, China dan lain-lain kebetulan pula kedua-dua tamaddun.
Romawi dan Parsi berada di sekeliling semenanjung Arab, baik di utara mahu pun di selatan, ditambah lagi oleh agama Yahudi dan Nasrani yang telah wujud di tengah-tengah semenanjung itu sejak berapa lama dahulu.
Jadi bukanlah faktor kekurangan tamaddun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu mencedok dari Kitab Allah (Al-Quran) sahaja dalam peringkat pertumbuhan mereka, tapi ialah justeru kerana “planning” yang telah ditentukan dan program yang telah diatur.
Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Sayyidina Umar bin Al- Khattab R.A. ada memegang sehelai kitab Taurat. Melihat keadaan ini beliau pun bersabda:
Quote::
“Demi Allah sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku.” (Hadis riwayat Al-hafidz Abu Ya'la dari Hammad dari Asy-sya'bi dari Jabir)
Yang demikian maka dapatlah diambil kesimpulan bahawa Rasulullah SAW, bermaksud dan mengarahkan supaya sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu, dalam peringkat pertumbuhan mereka lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (Al-Quran) sahaja supaya jiwanya melurus ke arah programNya yang tunggal itu; oleh kerana itu beliau murka melihatkan Saydina Umar bin AI-Khattab R.A. cuba mencari panduan daripada sumber yang lain dari Al-Quran itu.
Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam Al-Quranul Karim.
Generasi sahabat-sahabat itu menerima panduannya daripada sumber yang tunggal itu sahaja. Oleh kerana itulah generasi itu telah berhasil membentuk sejarah gemilang di zamannya.
Tetapi apakah yang telah terjadi kemudiannya?
Sumber-sumber panduan itu rupanya telah bercampur baur!
Sumber itu telah dimasuki oleh falsafah Yunani (Greek), cara berfikir dan lojikanya, dongeng-dongeng Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita Israeliat Yahudi, falsafah Ketuhanan ala-Kristian yang telah bercampur baur di dalam tafsir Al-Quran dan ilmu Al-Kalam, dan juga telah dimasuki oleh saki baki peninggalan tamaddun zaman lampau yang sukar dikikis.
Di samping itu banyak lagi sumber panduan lain yang telah bercampur baur dengan tafsir Al-Quran, ilmu Al-Kalam, ilmu fiqah dan malah ilmu usuluddin juga.
Campuran panduan inilah yang telah melahirkan generasi-generasi berikutnya. Oleh kerana itulah maka bentuk generasi pertama iaitu generasi para sahabat Rasulullah SAW, tidak lahir lagi kemudiannya.
Memang tak dapat diragukan lagi bahawa bercampur-baurnya sumber panduan itulah yang menjadi faktor utama mengapa generasi berikutnya berlainan sama sekali dari bentuk generasi pertama yang unggul itu.
Di sana ada satu lagi faktor asasi selain daripada perubahan sumber itu, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran antara generasi para sahabat Rasulullah SAW dengan generasi-generasi kemudiannya.
Mereka, iaitu para sahabat Rasulullah di dalam generasi pertama itu tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan, bukan juga dengan tujuan mencari hiburan dan penglipur lara.
Tiada seorang pun dari mereka yang belajar Al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademi untuk mengisi dada mereka sahaja. Bahkan dia pelajari Al-Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan hidup bermasyarakat, juga urusan hidup mereka sendiri dari hidup masyarakat mereka.
Dia belajar untuk dilaksanakan serta merta, seperti seorang perajurit menerima, “arahan harian” atau “surat pekeliling” bagi dilaksanakan serta merta!
Juga tiada seorang pun dari mereka yang mencari pelajaran tambahan atau pun arahan tambahan dalam satu majlis pengajian atau suatu majlis taklimat sahaja, kerana dia tahu bahawa yang demikian itu akan menambah beratkan tugasnya, malah kadang-kadang dia cukup dengan hanya sepuluh ayat sahaja sehingga dia benar-benar menghafalnya dan dia laksanakan arahan-arahannya seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud r.a.
No comments:
Post a Comment