Sebelum memulakan perbahasan dengan lebih lanjut, maka lebih elok diberikan maksud iddah dahulu sebagai pengetahuan kita semua. Menurut kitab feqah, iddah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.
Tempoh idah bagi wanita yang diceraikan suami atau suami meninggal ialah :
1. Wanita yang hamil/isteri hamil tempoh idahnya ialah sehingga ia bersalin. Firman Allah yang bermaksud : “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak Yang dikandungnya.” (At-Talaq : 4)
2. Wanita yang tidak hamil, tempoh idahnya ialah 4 bulan 10 hari. Firman Allah yang bermaksud : “Dan orang-orang Yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” (Al-Baqarah : 234)
3. Suami menceraikan isteri yang haid, idahnya mestilah suci dari haid 3 kali berturut-turut. Firman Allah yang bermaksud : “Dan isteri-isteri Yang diceraikan itu hendaklah menunggu Dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).” (Al-Baqarah : 228)
Semasa idah, beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh perempuan tersebut di antaranya ialah :
1. Wanita yang berada dalam idah, tidak boleh dipinang atau bertunang.
2. Wanita dalam idah tidak boleh dikahwinkan atau bernikah, kerana dikuatiri bercampur benih suami lama dan suami yang baru dan memastikan rahim wanita tersebut benar-benar bersih dari benih suami yang lama dahulu.
3. Wanita dalam idah tidak dibenarkan memakai hiasan atau pakaian yang cantik. Tujuannya adalah untuk mengelakkan wanita idah ini diperhatikan oleh lelaki lain atau dijadikan buruan lelaki lain dan untuk mengelakkan wanita ini dipinang atau dikahwini semasa idah. Hal ini juga bertujuan untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah orang akan wanita idah tersebut. Wanita tersebut hanya berpakaian yang menutup aurat dan pakaian tersebut tidak menampakkan wanita tersebut cantik dan bergaya.
4. Wanita idah tidak dibenarkan keluar rumah atau tidur di rumah bukan kebiasaannya. Jika wanita yang diceraikan suaminya dilarang menghalau atau mengusir isterinya keluar dari rumahnya. Tidak mengapa wanita idah tinggal di rumah ibu bapanya atau mertuanya, kerana ini merupakan kebiasaannya. Tetapi beza bagi wanita idah yang mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan seperti berlakunya musibah banjir, rumah runtuh, kebakaran dan seumpamanya, maka dibolehkannya berpindah ke rumah lain.
5. Wanita idah tidak boleh keluar rumah tanpa tujuan atau keperluan. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah orang sekelilingnya. Beza bagi wanita idah yang tiada saudara maranya dan dia terpaksa keluar rumah untuk mencari keperluan hidupnya seperti bekerja, mencari rezeki, keluar membeli barang keperluan dapur dan sebagainya. Tetapi keluar hanya mencari barangan keperluan sahaja, setelah selesai membeli barang atau setelah waktu kerja, maka dia perlu bersegera pulang ke rumahnya.
Kesimpulannya
Berdasarkan penerangan di atas, pergi menghantar jenazah suami merupakan perkara yang tidak penting dan doa isteri tersebut boleh melalui rumahnya dan doa tersebut tetap sampai kepada suaminya walaupun jauh. Perkara ini tidak penting sepertimana mencari rezeki atau keluar membeli barang keperluan. Kesimpulannya, lebih baiklah tidak menyertai upacara pengebumian suami, kerana untuk mengelakkan dari berdosa dan timbulnya fitnah.
No comments:
Post a Comment