
Jiwa yang tenang bermaksud jiwa yang tidak dihinggapi dengan penyakit–penyakit jiwa yang tercela. Jiwanya tidak ada perasaan keluh–kesah, putus asa, hasad dengki, dan pelbagai lagi sifat–sifat negatif yang tercela atau dikenali sebagai ‘sifat–sifat mazmumah’. Sebaliknya jiwanya dilimpahi dengan sifat–sifat terpuji, yang diredai Allah Taala, atau dikenali sebagai ‘sifat–sifat mahmudah’. Semua cabaran kehidupan dihadapi dengan pandangan dan sikap yang positif.
Hidup manusia akan berada dalam dua medan perjuangan, perjuangan untuk melepaskan diri daripada sifat–sifat tercela dan memupuk sifat–sifat yang terpuji bagi melahirkan jiwa yang tenang.
Semua pihak mengakui penyakit–penyakit jiwa atau dalam bahasa modennya dikenali sebagai ‘gangguan psikologi’ adalah penyakit atau masalah yang memerlukan rawatan segera dan bersungguh–sungguh. Jika diabaikan, akibatnya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya mengundang kepada porak- peranda dalam kehidupan.
Salah satu faktor yang menyebabkan jiwa tidak tenteram ialah perasaan berdukacita terhadap peristiwa pahit masa silam, tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pada masa kini dan bimbangkan masa hadapan yang akan ditempuhi. Mereka selalu merintih dengan kata–kata “ kalau aku buat begitu dan kalau aku buat begini, tentu aku jadi begitu dan begini”.Ungkapan seumpama ini sebenarnya membuka ruang kepada syaitan untuk menguasai jiwa manusia.
Menyedari betapa bahayanya jiwa yang tidak tenteram kepada manusia maka penyakit ini perlu dirawat dengan secepat

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia tentang cara–cara untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran itu sendiri sudah mampu mententeramkan jiwa–jiwa manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut: “Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama–sama, melainkan turun ke atas mereka ‘as-sakinah’ (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh para malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Bukhari )
Antara cara pencegahan utama bagi penyakit jiwa yang ditunjukkan oleh al-Quran ialah menguatkan diri dengan iman, sembahyang dan berzikir kepada-Nya. Golongan yang tidak memahami hikmah dan kepentingan sembahyang, tentu mereka melalaikannya. Malah mereka tidak akan menjiwai betapa tenteramnya hati yang sedang bermunajat serta berbicara dengan Allah, tanpa melalui sebarang perantaraan. Sembahyang adalah detik–detik peningkatan kerohanian di mana orang yang bersembahyang terasa lapang dan lega dari tekanan hidup. Dengan sembahyang ia dapat meringankan malapetaka dan penderitaan yang dialami selama ini.

Carilah damai di hati dengan menjadikan iman sebagai penawar yang amat mujarab. Bekalan iman perlu digandakan sesuai dengan bertambahnya cabaran dan godaan yang mesti dilalui oleh kita. Yakinlah, ‘ penawar Ilahi’ adalah ‘sunnatullah’ untuk merawat segala masalah yang berkaitan dengan jiwa yang tidak tenteram.
No comments:
Post a Comment