Kebelakangan ini, saya jadi sangat rindu bercakap-cakap dengan sahabat. Yang dimana perbualan santai yang terucap dari bibir mereka bukan sekadar santai-santaian sahaja. Pasti ada butiran hikmah terselit sama.
Saya lebih suka untuk mendengar, dan mendengar.
Bercakap perihal hati, bab yang saya suka. Penjagaan hati itu sangat seni. Halus. Kita beriman bahawa hati itu wujud walaupun kita tidak melihatnya. Kita beriman bahawa apabila hati itu baik, maka baiklah jasad yang menampungnya.
Maka, tunaikanlah hak hati dengan cahaya yang betul!
Hati Yang Kegelapan
Malam tadi, semasa saya berjalan-jalan di alam maya, tiba-tiba lampu seluruh rumah terpadam. Sepupu yang berada di bilik sebelah terjerit kecil melepas keluhan. Saya yang ketika itu menaip sesuatu, kekal dalam posisi itu untuk beberapa minit.
Kalimah yang keluar dari bibir saya, “Gelapnya…”
Dalam keadaan itu juga saya terfikir, beginikah kegelapan hati yang tiada cahaya ketaatan kepada ALLAh SWT? Gelap. Hilang arah. Tidak kelihatan matlamat. Teraba-raba dalam dunia sendiri.
Begitulah hati yang dicahayai dengan kemaksiatan. Gelap. Tenggelam dalam kenikmatan maksiat yang hanya sesaat, tetapi hati resah sepanjang masa.
Hati itu adalah RAJA bagi seluruh anggota badan. Jika hati itu tidak mempunyai cahaya dan berada di dalam kegelapan, maka sudah semestinya anggota kerajaan badannya berada di dalam kegelapan. Segala tingkah laku menjadi hanya sesedap rasa dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Tidak memikirkan sama ada yang dilakukan itu salah atau tidak. Yang terfikir, lakukan sahaja!
Atau mungkin, kadang kala terfikir, tetapi tidak menghiraukannya.
Apabila hati sudah gelap, hatta disinari dengan cahaya dari lampu yang berkuasa tinggi, maka akan tetap kegelapan jika empunya hati masih tidak mahu berubah dan mengambil langkah pertama untuk keluar daripada kegelapan itu.
Kegelapan hati akan terzahir melalui tingkah laku dan hakikatnya, ia memang disedari dan dirasai. Sepertimana kita resah berada di dalam kegelapan kerana tidak mempunyai cahaya hatta sedikit pun, maka begitulah sepatutnya hati secara fizikalnya.
Sangat meresah dan merisaukan!
Simbahkan Hati Dengan Cahaya Ketaatan
Senangkah hendak mengerjakan ketaatan yang telah diperintahkan oleh ALLAh SWT?
Jawapan saya, tidak!
Untuk melakukan suruhan ALLAh, itu perlu mujahadah. Perlu ada kekuatan dalam diri sendiri untuk memaksa diri melakukannya. Ibadah-ibadah khusus. Betapa senang hati dihasut oleh bujukan syaitan.
Ketaatan = Cahaya
Kemaksiatan = Kegelapan
Kemaksiatan = Kegelapan
Anda nampak perbezaannya? Senyum.
Kekuatan dan tenaga kita untuk melawan nafsu jahat dan memaksa diri melakukan ketaatan itu datangnya daripada ALLAh, kudrat kita milik Dia. Maka, mintalah lebih daripada ALLAh untuk memberi kekuatan kepada diri anda melaksanakan apa yang telah ditetapkan-Nya.
Maha Suci ALLAh daripada sifat yang zalim!
Dalam hidup ini, terlalu banyak bonus yang ALLAh berikan kepada hamba-Nya. Jika sebelum ini kita mensia-siakan amalan yang pada penglihatan kita remeh sahaja, maka sedarlah, ALLAh tidak menciptakan atau menyuruh sesuatu kebaikan melainkan ada hikmah dan pahala yang sangat besar disebaliknya.
Orang yang selalu taat, akan mempamerkan cahaya ketaatannya secara semulajadi.
Baik daripada perlakuan, pertuturan dan akhlaknya sesama manusia. Selalunya, apabila manusia berhadapan dengan peluang yang ada cuma sekali, maka manusia akan berhabis-habisan untuknya. Jadi mengapa tidak semangat itu diaplikasikan dalam hidup di dunia ini yang hanya sekali sahaja?
Saya suka membaca bait kata Ibnu Abbas r.a. ini :
“Kebaikan menyebabkan sinaran putih diwajah, cahaya di dalam hati, keluasan dan kelapangan didalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan didalam hati orang lain. Sementara kejahatan dan kederhakaan menyebabkan kehitaman pada wajah, kegelapan didalam hati, kelemahan pada badan, kekurangan pada rezeki dan kebencian didalam hati orang lain.”
Sangat indah membayangkan cahaya-cahaya syurga. Itu belum termasuk membayangkan keindahan dalam syurga. Maka, seharusnya saya dan anda semua berusaha keras menyinari hati dengan cahaya-cahaya ketaatan kepada ALLAh SWT.
Bangga menjadi muslim? Buktikan!
Pssst! Bawa saya bersama boleh? *genggamtangandia*
Pssst! Bawa saya bersama boleh? *genggamtangandia*
Senyum bahagia. MashaAllah~
Ingatkan saya untuk berusaha ya.
Ingatkan saya untuk berusaha ya.
Semoga ALLAh merahmati.
---------------------------------------------------------
Seketul daging. Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan. Manusia.. Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.
Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.
Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati... Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?
Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?
Kerana hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.
Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?
Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!
Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.
Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?
Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.
Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.
Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.
Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin.
Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati.
[HR Bukhari dan Muslim]
Assalamualaikum wbt
ReplyDeleteApabila kita menyebut ttg hati (sebenarnya jantung = heart, manakala hati = liver), kita mesti jelas bahawa Allah SWT tidak menjadikan dalam diri manusia 2 jenis jantung yg berbeza samada baik atau sebaliknya. Surah AlAhzab:4مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ۬ مِّن قَلۡبَيۡنِ فِى جَوۡفِهِۦ (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya`
Dalam sebuah hadis Rasulullah saw:
عن النعمان بن بشير رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب
Dari Nu'man Bin Basyir رضي الله عنه bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda : Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah badan seluruhnya. Ketahuilah! Itulah (yang dikatakan) Al-Qolbu.
Qalbu inilah yang menentukan takdir perjalanan hidup kita kemanakah hala tuju kita kerana setiap orang diberi pemilihan hidup samaada kesyukuran atau kekufuran. Surah AlBalad:10
وَهَدَيۡنَـٰهُ ٱلنَّجۡدَيۡنِ Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? Surah AlInsan:3) إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا ) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
Oleh kerana, takdir berkait-rapat dengan amalan kita sebab itulah setiap pekerjaan yang kita lakukan sentiasa dikaitkan dengan takdir kerana pemilihan itu merupakan jalan takdir bagi kita. Wallahualam