January 31, 2011

Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!




Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.






Kenangkan kembali memori lalu, ingatan pada kenangan silam seadainya bisa diputarkan mahu saja ana putarkan kenangan itu bersama. Dalam menghadapi resahnya hati, terubat pada kisah lalu. Keakraban yang bertunjangkan kalimah tauhid berpaksikan akidah yang SATU, ukhuwah kami subur dengan kasih sayang.





"Adik, adik nak tahu tak... Kalau diberikan peluang bermadu, akak nak bermadu dengan adik sorang je tau. Akak sanggup bermadu dengan adik, sebab akak sayang adik."



Masya Allah, macam nak tercekik dibuatnya apabila dengan TIBA-TIBA orang cakap macam ni.

Terus ana berhenti berfikir dan kemudian, ana bertanya semula.

"Er, napa akak cakap macam tu?"
"Mungkin sebab akak sayang adik sangat, dan akak rasa akak boleh sabar dengan adik."
"Hahaha." Kami sama-sama ketawa.


"Adik, adik nak tahu tak? Kalau Allah takdirkan kita berpisah di sini, akak tak sedih. Sebab akak mengharapkan semoga Allah temukan kita di sana. Alangkah ruginya kalau kita berkasih di sini tetapi tidak bertemu di sana."


Ana diam. Tak tahu nak cakap apa, mungkin disebabkan sedang menanggung kesakitan yang tidak sedikit.



"Adik, adik nak tahu tak? Walaupun ramai adik-adik lain datang silih berganti, adik tetap no. 1 di hati akak."


Ana diam. Tak tahu nak cakap apa.



"Adik, adik nak tahu tak? Kalau akak sedih ke... adik selalu dapat tahu."


Ya, itu ana sendiri dapat menangkap. Kadangkala, ada desiran hati menangkap sesuatu lantas laju jari menaip butang pada hp.


"Akak, akak ok ke? Adik teringat sangat dengan akak... Akak nak share apa-apa?"


Entahlah, barangkali kerana keakraban itu telah mengikatkan hati kami untuk saling berpaut pada Allah. Tali ini juga disimpulkan dengan kalimah tauhid, yang mengharapkan Allah juga berhajatkan kepada Allah.. Selalu saja hati-hati kami terasa getar seolah-olah vibrate hp semasa salah seorang ditimpa musibah. Subhanallah.


"Adik... Adik nak tahu tak...." Dan ukhti terus bercerita membawa ana masuk ke alam srikandi ulung Saidatina Khadijah, ummul mukminin satu-satunya yang hidup bersama Rasulullah tanpa poligami dan satu-satunya insan yang mendokong Rasulullah saat insan lain mencerca Rasulullah. Allahu Allah... Isteri yang teramat setia, mewakafkan segalanya di atas perjuangan suami. Isteri yang teramat tabah melalui fasa-fasa kehidupan berumah tangga dengan insan pembawa Rahmat Allah.


"...Dan, akak nak jadi seperti Khadijah..."


Ana tersenyum lebar. Ukhti seorang yang setia, tabah dan penyabar (melayan kerenah ana yang maha banyak, huhu).

"Kak, adik nak jadi Aisyah!"

Ukhti tersenyum, "...kenapa?"


"Sebab, nak faqih macam Aisyah...!" Ana tersengih lebar.


"Mungkin sebab adik kuat cemburu..." Lalu terhambur ketawa.


"Seorang perempuan itu....." dan syarahan ukhti menjadi panjang. Sangat panjang.


"Eh... bukan ke bla bla bla...?" Aduh, sifatku yang degil dan suka membangkang kata-kata ukhti sudah sebati kerana dari awal memang sifat yang satu ini agak terserlah sampai ukhti selalu cakap. "Oh, harini belum kena sekeh lagi ye?" Ups...


"Adik nak tahu, ukhuwah maya tu tak wujud bagi akak...."
Ana terbeliak... "Ha, kenapa kak?"


"Sebab... kita tak tahu orang yang bercakap tu bagaimana, entah suka entah berduka entah..."

Dan, ana melafazkan keramat. "Adik akan buktikan akak salah!"


Oh, degilnya ana. Kenapa ana selalu membantah ukhti, ana sendiri pun tak tahu. Mungkin sebab nak tunjuk nakal. Bukan la desperate perhatian, cuma seronok bila dapat membantah walaupun tahu kebenaran atau tidak setuju sekali pun. Ke'tidak'mesraan itu jugalah yang menjadikan kami mesra.

Ukhti selalu memulakan ayatnya "...adik, adik nak tahu tak...." membuktikan yang ana sangat kerdil, begitu kecil untuk mengetahui rencah kehidupan alam di luar. Kehidupan yang menduga emosi, akal bahkan iman. Dan ukhti masih gemar bercerita itu dan ini dengan ana.

"Adik, akak rasa akak boleh redha lah kalau adik jadi madu akak..."

"Hahaha," ana ketawa lagi. Huh, pening! Kadang-kadang ana ketawa tak tahan geli hati dengan kerenah ukhti yang seorang ni. Selalu benar bercakap tentang poligami dengan ana,"akak nak bermadu dengan adik lah..." adoi la. Ana garu kepala. Kak, siapa calon suami 'kita' ni? Uwais? Aqeef?


"Akak sayang adik sampai akak sanggup dahulukan adik apa pun, kalau akak mampu hatta nyawa pun akak sanggup korbankan untuk adik."

Ana diam, berfikir dengan dalam.

Bila hati sudah mabuk dengan cinta Allah, tak terasa pun hadirnya perkara selain Dia dalam kehidupan. Kisah itu selalu buat ana termenung. Lalu, musibah menimpa hingga kami terpisah jauh. Seorang di sana dan seorang di sini, pelampung itu sudah ana berikan padanya namun dia belum mampu berpaut. Kelemasan di samudera dalam, lalu... ana hanya mampu berdoa dan terus mengharap di hujung jalan gelita ini Allah berikan lentera cahaya. Dengan cahaya Ilahi agar mampu menerangi kamar hati kami.


Pada jalan yang berliku ini, hanya air mata dan munajat pada Nya.
Pada jalan yang sepi ini, hanya harapan yang belum mati.
Pada jalan yang duka ini, hanya senyuman penawar hati.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami.
Bimbinglah kami menuju jalan Mu.
Berilah kami maghfirah Mu.
Semaikanlah hati kami dengan meredhai ujian Mu.
Suburkan iman kami dengan cinta Mu.
Peliharalah jiwa kami dari bara nafsu.
Matikanlah kami dalam keredhaan Mu.

... ana uhibbuki fillah ya ukhti ...

Kak, adik nak akak ceria... Ceria yang sebenar, bukan buat-buat ceria. Di saat tumpahnya air mata akak, tak sanggup nak membelai lembut pipimu kerana hati ini terguris, jiwa ini terhiris dengan keadaanmu. Bangkitlah ukhti yang ku cintai, genggamlah erat tangan ini agar kita sama-sama berganding seperti dulu walau tidak "bermadu" cukuplah kita menjadi seperti kupu-kupu yang sangat setia, seekor mati... seekor lagi bakal menyusul kerana terlalu memegang erat janji setia. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!

Kak, seandainya benar akak sanggup mendahului adik hatta nyawa akak sekalipun maka adik menuntut kata-kata akak. Bangkitlah kak! Bangkitlah! Bangkit demi islam, banyak yang harus dilakukan untuk ummah. Bangkitlah duhai kakakku sayang, demi Allah kita berlari ke arah Nya walau tersadung kaki lalu rebah ke bumi, tetaplah bangun dan usahakan untuk menjahit bajumu yang terkoyak walau dengan jari yang berdarah kerana hanya kita yang mampu melakukannya sendiri, atas keizinan Allah jua. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!

Kak, bukan adik memaksa akak menjadi orang lain... Tapi, adik pohon usahakanlah sesuatu untuk menjernihkan kembali kolam hati yang berkocak kerana ramai orang yang menderita melihat akak. Kami rindukan akak yang tabah. Kami rindukan akak yang penyabar. Kami rindukan akak yang setia... Dan adik akan selalu menanti perubahan itu sehingga hujung nyawa. Kerana, aku cinta pada Mu kerana ALLAH!


January 28, 2011

" Nanti dah duduk jauh dari keluarga pun tetap kuatkan semangat, kuatkan jati diri " ..



Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.



Pesanan untuk sendiri…pesanan buat hati ana.

“Ya Allah, andai diri dalam keadaan lemah, dan tidak berfikiran rasional, ana minta supaya jangan Engkau palingkan hati ini dari terus memperjuangkan agamaMu, dan jua iman ini.”
Seringkali ana merasakan diri ini lemah apabila sahaja gagal membawa nasihat kepada sahabat dan jua keluarga. Perlu ana katakan pada diri di sini, dakwah itu amatlah sukar kerana memerlukan jangka masa dan ruang yang baik. Sedang ana membaca satu artikel di ruang maya, ana terfikir. Allah memandang pada usahanya bukan pada hasilnya. Pasti ada sebab Allah aturkan sebegitu. Mungkin sahaja supaya ana terus berusaha. Mungkin sahaja ada yang tidak kena pada diri.
Satu pesanan buat ana dari seseorang…

" Nanti dah duduk jauh dari keluarga
pun tetap kuatkan semangat, kuatkan jati diri " ..



Bukan hanya omong-omongan kosong semata-mata, namun perlukan usaha dan doa.
Ana tidak mahu istilah futur itu terbayang-bayang dan muncul pada minda ana. Minta dijauhkan. Terima kasih untuk nikmat imanMu ini kepada ku, Ya Allah.
P/s:
Buat seorang sahabat sejati di tempat sepengajian, selamat bertunang. Ana gembira enti dah makin menemui cinta yang akan membawa enti dalam memperkukuhkan cinta kerana Allah.

Renungan Adam dan Hawa



(Sebuah Renungan buat HAWA)
Pernikahan ataupun perkahwinan,
Membuka tabir rahsia,
Suami yang menikahi kamu,
Tidaklah semulia Muhammad, Tidaklah setaqwa Ibrahim,
Tidak pula setabah Isa atau Ayub,
Atau pun segagah Musa, apalagi setampan Yusuf
Justeru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman,
Yang punya cita-cita, Membangun keturunan yang soleh..
Pernikahan ataupun Perkahwinan,
Mengajar kita kewajiban bersama,
Suami menjadi pelindung, Kamu penghuninya,
Suami adalah Nakoda kapal, Kamu navigatornya,
Suami bagaikan balita yang nakal, Kamulah penonton kenakalannya,
Saat Suami menjadi Raja, Kamu nikmati anggur singasananya,
Seketika Suami menjadi bisa, Kamulah penawar ubatnya,
Seandainya Suami sinis yang lancang, sabarlah memperingatkannya
Pernikahan ataupun Perkawinan,
Mengajarkan kita perlunya iman dan taqwa,
Untuk belajar meniti sabar dan redha,
Kerana memiliki suami yang tak segagah mana,
Justeru Kamu akan tersentak dari alpa,
Kamu bukanlah Khadijah, yang begitu sempurna di dalam menjaga
Bukan pula Hajar ataupun Mariam, yang begitu setia dalam sengsara
Cuma wanita akhir zaman, yang berusaha menjadi solehah … Amiiin


(Sebuah Renungan buat ADAM)


Pernikahan atau perkahwinan, Menyingkap tabir rahsia..
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setaqwa Aisyah,
Dan tidak pula setabah Fatimah …
Justeru Isterimu hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita, Menjadi solehah…
Pernikahan ataupun perkahwinan,
Mengajar kita kewajiban bersama …
Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman, kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, kamu mursyid (pembimbing)-nya,
Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya …
Saat Isteri menjadi madu, kamu teguklah sepuasnya,
Seketika Isteri menjadi racun, kamulah penawar bisanya,
Seandainya Isteri tulang yang bengkok, ber-hati²lah meluruskannya..
Pernikahan ataupun perkahwinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa …
Untuk belajar meniti sabar dan redha,
Kerana memiliki Isteri yang tak sehebat mana,
Justeru kamu akan tersentak dari alpa,
Kamu bukanlah Muhammad Rasulullah atau Isa As,
bukanlah pula Sayyidina Ali Ra,
Cuma suami akhir zaman, yang berusaha menjadi soleh … Amiiin




Dilema Queen Control


DIA memerintah suami melakukan itu dan ini. Disuruh membasuh baju, memasak atau mengemas rumah. Tidak boleh dibantah, kalau dilawan, pasti tinggi suaranya membalas kembali.


Dia juga mengawal segala kewangan dan keputusan keluarga. Apa yang harus dibeli, ke mana pergi bercuti atau bila hubungan seksual dilakukan.


Apabila isteri bersikap begini, ramai suami yang mula mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.


Umpama lembu ditarik hidung. Begitulah kata-kata kiasan yang tepat bagi menerangkan maksud wanita queen control dalam sesebuah hubungan rumah tangga.


Queen control atau terlalu mengongkong disifatkan sebagai sikap menyuruh atau memerintah seorang si isteri kepada suaminya dalam keadaan memaksa, tidak kira apa jua situasi.


Justeru, melihat faktor kecanggihan teknologi dunia hari ini, benarkah senario itu dianggap sudah lapuk ditelan zaman? Memandangkan wanita metropolitan masa kini lebih mementingkan etika dan nilai-nilai kekeluargaan, demi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Malah, menjadi persoalan ramai, masih wujudkah jolokan wanita queen control pada era moden kini?


Menurut Pakar Motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, kewujudan sikap queen control tidak mengira apa jua keadaan mahupun situasi. Ia wujud dalam semua era kehidupan manusia.
Tidak dinafikan, kewujudannya disebabkan beberapa punca yang tercetus atau dicetus oleh kedua-dua pihak, sama ada lelaki mahupun wanita.


Untuk kepastiannya jelas Tuah, terdapat tiga jenis queen control, iaitu jenis mutlak, pertengahan dan permulaan.


"Bagi yang jenis mutlak, tingkahlaku isteri adalah terlalu bersikap mengawal suami 100 peratus hingga suami bagaikan haiwan peliharaan, terpaksa tunduk sahaja atas semua arahan dan kemahuan isteri"


"Jenis pertengahan pula adalah seperti si isteri suka mengawal dan mengarah ikut emosi yang sedang dialaminya. Mereka ini adalah isteri yang bersikap berubah-ubah dan ikut mood tanpa menghiraukan perasaan yang dialami suami ketika itu."


"Manakala queen control jenis permulaan pula kebiasaannya terjadi selepas setahun mendirikan rumah tangga. Waktu itu, isteri mula melihat kelemahan suami serta mula tidak menyukai beberapa sifat pasangannya."


"Keadaan sebegini lebih mudah berlaku apabila si suami seorang yang lemah, kurang bertegas dan kerap memberi muka kepada isteri, iaitu sering tunduk kepada kemahuan si isteri," tegasnya.

Justeru, dalam meneliti punca utama lahirnya sikap sebegini, queen control berlaku apabila si isteri mula melihat kelemahan suami dan merasakan dirinya lebih dominan. Tambahan apabila sejak lahiriah lagi si suami memang suka beralah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan.
"Sebenarnya, suami bukanlah takut pada isteri yang begini, tetapi semata-mata malas hendak memanjangkan perkara kecil atau untuk mengelakkan perbalahan atau pertengkaran yang tercetus.

"Lebih-lebih lagi jika suami terpaksa bergantung nasib kepada isteri, misalnya dalam hal penyediaan makan minum, taraf pekerjaan yang rendah berbanding isterinya, soal pemberian penjagaan anak-anak dan rumah tangga, bahkan soal pendapatan," jelasnya pengaruh mertua juga turut menyumbang ke arah kewujudan sikap sebegini.


Dalam soal jolokan wanita queen control ini juga, mereka tidak mahu rasa tercabar dengan kedudukan yang lebih tinggi daripada pasangan. Sekali gus tidak mahu berasa rendah diri atau wujudnya jurang perbezaan di antara dua pihak, sehingga menjadi perbualan ramai.


"Saya bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlaku. Ia boleh mengancam institusi perkahwinan itu sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat," tegas beliau.


Adakah ia kesilapan daripada sikap lelaki itu sendiri sehingga membuatkan wanita bersikap mengongkong? "Ya, memang silap si lelaki. Sikap beralah itu baik, tapi usah terlalu memberi muka, nanti hilang kredibiliti.


"Suami adalah pemimpin, ketegasan itu kadang-kadang perlu supaya si isteri tidak terbabas memiliki sifat yang salah.


"Realitinya, lelaki akan berasa cepat jemu sekiranya ia berterusan. Lelaki seperti ini lebih rela menjalani hidup sedemikian rupa atas sebab kasih sayang yang besar sebagaimana digambarkan oleh watak Re (Tompel) dalam filem Do Re Mi.


"Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu malah tidak mustahil lelaki akan berasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri," jelasnya.

Wallahua'lam





Mengatasi Konflik Rumahtangga

Bismillahirrahmanirrahim


Biasanya, setelah suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahu berdamai. Kalau boleh, mereka mahu supaya pergaduhan itu adalah yang terakhir. Jadi mereka inginkan perdamaian yang kekal. Tetapi biasanya, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara. Esok lusa mereka bergaduh lagi.

Antara FAKTOR yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa ialah kerana mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.

saya senaraikan di sini sebahagian daripada panduan tersebut sebagai rujukan bersama :

1. Jangan merajuk :

Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan merajuk ialah sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk.

Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap dirinya dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses berdamai.

Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan mengalah dan memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri. Tetapi itu adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah berdasarkan keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum oleh isterinya sendiri.

2. Jangan menghukum :

pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak yang satu lagi.

Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami.

Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.

3. Jangan berdusta :

Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia untuk melupakan usaha berdamai.

4. Jangan mencari salah :

Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Maksudnya di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.

5. Berhentikan bahasa negatif :

Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah: bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif.

"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)

"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)

"Abang tak guna langsung." (celaan)

"Awak tak senonoh!" (celaan)

"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)

Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok :

Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".

7. Senyum semula :

Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula . ^_^

8. Mulakan berdamai :

Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti bahawa kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.

9. Kenal pasti PUNCA MASALAH :

Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya, dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi untuk mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan.

Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagi label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.

a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)

"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup

tiap-tiap bulan." (/)

b. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)

"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya

tak berasa diri saya diabaikan." (/)


10. Kenal pasti perubahan :

Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan. Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu.

Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah-lakunya, mereka bercakap secara umum dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang mesti diubahnya.

Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab" mempunyai makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak biadab". Jadi gunaka bahasa yag tepat :

a. "Jangan biadab pada saya." (x)

"Jangan menengking saya." (/)

b. "Jangan pemalas." (x)

"Jangan selalu tidur siang." (/)

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalamperasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.

semoga paduan ini dapat dijadikan rujukan kepada kita semua. Yang sudah berlalu biarkan sebagai pengajaran. Pastikan hari esok sentiasa cerah dan bahagia. selamat mencuba !

Wallahua'lam

10 PESANAN UNTUK BAKAL ISTERI

Bismillahirrahmanirrahim


Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, Raja Negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berpesan kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, Tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi hakikatnya wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku,

Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

  • Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.


  • Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.


  • Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.


  • Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.


  • Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.


  • Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.


  • Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.


Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”


Wallahua'lam

Perkahwinan Mengikut Adat : Membebankan Dan Menggalakkan Maksiat

Bismillahirrahmnairrahim
Bila melihat kepada kejadian rogol, zina dan seangkatan dengannya yang terjadi begitu menular sejak akhir-akhir ini, ana terfikir di mana silapnya. Penzinaan terjadi sudah terlalu banyak. Dari dewasa, tua bangka sehinggalah kanak-kanak bawah umur, sudah pandai berzina dan dalam proses mempelajari ilmu 'seks'. Di manakah silapnya?

Tetapi yang ingin ana tekankan ialah soal perkahwinan. Bila sebut bab kahwin semua seronok. Sebab apa? Dapat hidup bersama, dapat melepaskan rindu dan rasa kasih yang dipendam selama masih dalam 'pantang', dapat bersama mengharungi suka duka yang dulunya hanya seorang saja kini dapat berdua berkongsi derita dan bahagia. Sungguh indah bila dapat bersatu.
Alangkah....Namun, itu semua tak mungkin dapat menjadi kenyataan bila terlalu mengikut adat. Bukanlah ana ini anti adat. Ana pun Melayu juga. Lahir dalam suasana penuh adat keMelayuan. Ana tidak bencikan adat.


Namun cara adat itu di'pertuhankan' yang membuat ana begitu resah, gelisah, keluh kesah dan marah. Jika bukan kerana adat, ramai yang telah dapat melayari bahtera yang diimpikan bersama, ramai dapat melahirkan zuriat-zuriat yang halal dan bersih dan sihat bahkan ramai juga dapat menghindarkan segala maksiat termasuk zina.

Apakah kita terfikir, kenapa ramai anak luar nikah? Kenapa banyak sangat kes zina, rogol, liwat dan sebagainya? Dalam lingkungan umur berapakah yang selalu terjadi kes sebegini?Nah sekarang masanya untuk kita kaji kembali punca terjadinya penzinaan. Kita selalu marah orang ini berzina, orang itu berdua-duaan berkhalwat dan akhirnya ditangkap basah.

Pernah kita tanya kenapa? Ramai yang ditangkap dalam lingkungan 20-40 an. Sudah boleh jadi mak budak dan bapak budak. Kenapa lakukan ini semua? Jawapan ramai yang memberi; "Nak kawin takleh encik, tak jumpa rindu, nak jumpa kat rumah mak bapak tak bagi, jadi kat sini sajalah tempat kami melepaskan rindu yang terbungkam di kalbu". Itulah dia antara jawapan yang ana kadang-kadang rasa sedih. Bila ditanya kenapa tak kawin saja? Jawabnya; "Hantaran tinggi sangat, memang nak kawin, tapi kena kumpul dulu sikit-sikit, dah cukup baru kawin."

Jawapan yang diberi agak selamba, tapi itulah gambaran kenapa ramai muda-mudi berkhalwat.Semua ini terletak di tangan ibu bapa, semua pasangan ibu bapa pasti ada anak-anak mereka yang hendak berkahwin. Selamilah hati anak-anak itu. Jangan sekat keinginan mereka untuk membina rumahtangga yang halal lagi berkat dengan segunung adat yang pastinya menyesak jiwa anak-anak ini. Kalau hendak diletakkan hantaran biarlah logik dan berpada-pada dengan kemampuan di teruna atau duda itu.

Mas kahwin pula kata Nabi S.A.W., yang paling baik ialah paling rendah mas kahwinnya. Hantaran dan mas kahwin bukanlah tanda ingin menjual anak!Bahkan dalam Islam, tiada langsung disebut hantaran. Orang kita ini terikut-ikut adat Hindu. Seperti pelamin, adat Hindu yang diikut, bukan satu sunnah. Haram bersanding di khalayak ramai bercampur laki perempuan bukan muhrim. Boleh bersanding asalkan hanya untuk saudara mara yang muhrimnya. Itu hukum jika mahu bersanding.

Dalam Islam pula , yang ada hanya mas kahwin, yakni belanja bagi pengantin perempuan. Takkan mak bapak pun nak tumpang mas kahwin dan hantaran anak. Itu muka tak malu namanya. Adat ini kadang-kadang menyusahkan kedua belah pihak. Kena tangkap basah siapa malu? Akhirnya kahwin free!Janganlah hendak menanamkan rasa riyak pula dalam kenduri yang sehari itu. Hendak menunjukkan kemewahan, kecantikan dan ke'gah'an hingga berhabis berpuluh ribu. Akhirnya rumahtangga kekal hanya tak sampai setahun, kerana terlalu mengikut adat bukan mengikut sunnah.Telah banyak kita perhatikan suasana kahwin cerai yang berlaku begitu banyak sekarang. Pernahkah kita kaji, abis-abis kita katakan tiada jodoh. Allah takkan menzalimi manusia itu dengan memalukan mereka kerana cerai itu sendiri perkara halal yang paling dibenci Allah S.W.T.

Salahkan diri kita kerana salah memilih dan terlalu ber'adat'.Adat boleh tapi jangan sampai ia menjadi faktor penghalang kebahagiaan dan kemajuan umat. Kembalilah kepada sunnah, wasatiah dan lebih tawaddu'

Wallahua'lam


Nota : Alhamdulillah kalau semakin ramai masyarakat yang sedar tentang perkara ni..tapi apa yang kita lihat tak ramai masyarakat yang nak memudahkan urusan tersebut,sebaliknya suka membebankan remaja yang ingin berkahwin dengan pelbagai 'karenah birokrasi' sehingga menyebabkan niat kahwin tertangguh semakin lama..ada pula yang bertunang dalam tempoh yang terlalu lama,dengan alasan belum cukup kumpul duit,sedangkan dalam tempoh tersebut sudah macam2 maksiat yang terjadi antara mereka..di pihak orang tua pula,kenapa tidak memudahkan urusan tersebut..sanggup pula tengok anak muda terbeban asalkan dapat kahwin ikut adat yang menyusahkan..
fikirkanlah..mana yang patut di dahulukan..adat atau ibadat?

pintu rumah tok kadi sentiasa terbuka luas untuk menerima kunjungan anda.

Tengahari tadi, seorang junior - hafizah - sewaktu saya di mtdq, bertanya pendapat tentang ' alam rumahtangga di usia muda '. Katanya , mana tahu " kalau2 ada orang datang ketuk ". Mendalam maksudnya, apapun saya tetap mendoakan untuknya yang terbaik. Beberapa minggu lepas, seorang junior DQ yang juga bekas roomate sewaktu di mtdq repek, bertanya juga tentang hal yang sama. Belum termasuk lagi pertanyaan sahabat2 lain yang dibuat secara santai dan tidak langsung.

Perlu saya akui, bahawa tidak ramai pasangan yang berkahwin - terutama di usia muda - berminat untuk menulis atau bercerita tajuk 'rumahtangga' kalau tidak diminta. Maksud saya, bercerita tentang hal ehwal perkahwinan atau berkongsi pengalaman secara konsisten. Kalau ada pun, sangat sedikit. Hakikat yang perlu diakui, pasangan ( atau individu ) yang belum berkahwin akan lebih berminat untuk menulis atau bercerita tentang percintaan, kasih sayang dan termasuk juga hal ehwal rumahtangga.


Mengapa wujud fenomena di atas? Yang pasti, ia bukan kerana " kelesuan cinta".

Pada saya , meskipun kelihatan normal tetapi sebenarnya ia sesuatu yang pelik. Graf 'cinta' yang melangit sebelum kahwin tiba2 merudum longlai selepas berkahwin. Sudah menjadi perkara yang diterima umum kalau si jejaka menulis berjela2 tentang cinta ataupun si gadis melakar tinta berbunga2 bagi mencerminkan keindahan sebuah kata bernama 'cinta'. Sebaliknya sesuatu yang pelik pula kalau pasangan suami isteri kemaruk menulis hal yang sama!

Seolahnya, keindahan alam percintaan hanyalah sebelum berkahwin. Seusai akad, alam tadi seolah sudah menjadi 'arwah' bersama2 alam bujang yang ditalqinkan di depan tok kadi. Alam percintaan yang digambarkan begitu romantis, mengasyikkan, penuh dengan kerinduan dan kasih sayang seolah terhad kepada mereka yang belum berkahwin sahaja.

Habis, apa yang tinggal selepas menjadi suami isteri? ( ini mindset )

Apa yang tinggal hanyalah tanggungjawab. Kemudian kesabaran yang tinggi bagi menghadapi masalah2 hidup. Ditambah pula apabila menerima cahaya mata, semakin besar dugaan yang perlu ditempuh bersama. Kewangan pula perlu dijaga dan tidak boleh sesuka hati berbelanja. Kemudian tentang hubungan keluarga di sebelah lelaki dan perempuan , termasuklah masalah2 keluarga yang perlu dijaga dan diambil berat. Selebihnya tentang rutin harian hidup di mana kedua2nya sibuk mencari rezeki dengan bekerja dan sebagainya. Itulah dia alam rumahtangga. ( ini juga yang menyebabkan ramai orang takut untuk berkahwin )

Benar, jawapan di atas memang benar - TETAPI tidak tepat.

Alam rumahtangga sebenarnya seribu kali lebih special berbanding alam bujang - di bawah tajuk percintaan. Sebab utama adalah kerana ia disyariatkan oleh Allah. Bermaksud, Allah yang recommend kan kepada manusia. Alam bercinta ketika bujang tiada siapa yang recommend kan melainkan pandai2 manusia sahaja. A tiru dari B , C tiru dari B. Tidak lebih dari itu. Manakala penambah perisanya adalah ajinamoto cap nafsu. Chefnya pula adalah syaitan. Itu sahaja.

Justeru, sesiapa yang beranggapan bahawa alam rumahtangga terpinggir dari alam percintaan seperti yang digambarkan, maka mereka silap besar. Silap kerana mungkin tidak pernah merasa atau silap kerana menggunapakai teori2 dari musuh Islam yang ternyata durjana.

Alam rumahtangga adalah alam yang paling sesuai untuk bercinta. Ini statement saya. Alam bujang pula sebaliknya. Kalau hendak digandingkan alam bujang dengan percintaan, bagi saya ia sesuatu yang sia2. Tidak lebih dari penyelewengan konsep.

KONSEP

Kalau hendak menggandingkan percintaan dengan alam bujang, boleh sahaja. Dengan syarat, tentukan konsepnya terlebih dahulu. Samada konsep CINTA yang dibawa oleh ISLAM atau sebaliknya. Jangan menipu atas nama agama. Kalau terbukti sebelum digandingkan itu bahawa CINTA konsep BARAT yang ingin digunapakai, maka silakan saja. Tiada siapa ingin menghalang. Tetapi pastikan status agama di Mykad anda adalah bukan ISLAM. Itu duduk perkara.

Alam bujang menjanjikan kebebasan dan kesenangan. Alam rumahtangga menjanjikan bebanan dan tanggungjawab. Itu bezanya.

Apabila digandingkan dengan percintaan, alam bujang membawa cinta itu ke jalan noda. Bebas bertukar2 pasangan, bebas melepaskan nafsu dan keinginan, bebas melakukan apa sahaja atas nama cinta, kononnya. Alam rumahtangga apabila digabungkan dengan percintaan, ia membawa kepada konsep cinta berlandaskan ubudiyyah yang jelas.

Dalam bercinta, ada tanggungjawab. Dalam mencari keinginan dan nafsu, ada kelulusan syariat. Ada cop halal yang comfirm original. Ada lesen besar dari Yang Maha Melihat. Tika bercinta tiada was2 dan maksiat. Tidak diburu rasa bersalah. Tiada larangan dan gangguan masyarakat. Hati tenang dan jiwa terasa lapang. Apabila dua insan disatukan atas nama syariat, maka syariatlah yang dijunjung. Apabila disatukan atas nama CINTA maka kecintaan kepada Allah lah yang menjadi ghayah utama.

Rezeki yang ada dicukupkan Allah. Dari sepinggan nasi digabung menjadi dua pinggan. Ternyata Allah itu Maha Bijak dan Maha Adil. Apabila dikurnia cahaya mata, maka dari dua pinggan menjadi tiga pinggan. Itu kan ketetapan Allah? Maka siapakah si jahil yang berani mengatakan bahawa ' berkahwin menjadi miskin ' ?

Anda ingin berkahwin silakan. Tapi pastikan anda cukup ilmu dan kefahaman tentang alam rumahtangga. Anda ingin bercinta silakan. Tetapi pastikan jalannya adalah perkahwinan, bukan ber couple. Kalau anda belum ingin berkahwin dan belum ingin bercinta, lupakan sahaja soal ini dan tumpukan pada belajar atau kerjaya.

Sebaliknya kalau anda belum ingin berkahwin tetapi sedang kemaruk bercinta, silalah nilai kembali agama di dalam diri anda. Buatlah keputusan untuk menyayangi jasad yang bakal reput bila2 masa atau menyayangi agama yang kekal hingga ke syurga. Apabila sudah dibuat keputusan dari mata hati anda, maka ketahuilah bahawa pintu rumah tok kadi sentiasa terbuka luas untuk menerima kunjungan anda.

" Maka bertanyalah kepada mereka2 yang tahu sekiranya kamu tidak tahu..."

Sekian.