January 28, 2011

Dilema Queen Control


DIA memerintah suami melakukan itu dan ini. Disuruh membasuh baju, memasak atau mengemas rumah. Tidak boleh dibantah, kalau dilawan, pasti tinggi suaranya membalas kembali.


Dia juga mengawal segala kewangan dan keputusan keluarga. Apa yang harus dibeli, ke mana pergi bercuti atau bila hubungan seksual dilakukan.


Apabila isteri bersikap begini, ramai suami yang mula mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.


Umpama lembu ditarik hidung. Begitulah kata-kata kiasan yang tepat bagi menerangkan maksud wanita queen control dalam sesebuah hubungan rumah tangga.


Queen control atau terlalu mengongkong disifatkan sebagai sikap menyuruh atau memerintah seorang si isteri kepada suaminya dalam keadaan memaksa, tidak kira apa jua situasi.


Justeru, melihat faktor kecanggihan teknologi dunia hari ini, benarkah senario itu dianggap sudah lapuk ditelan zaman? Memandangkan wanita metropolitan masa kini lebih mementingkan etika dan nilai-nilai kekeluargaan, demi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Malah, menjadi persoalan ramai, masih wujudkah jolokan wanita queen control pada era moden kini?


Menurut Pakar Motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, kewujudan sikap queen control tidak mengira apa jua keadaan mahupun situasi. Ia wujud dalam semua era kehidupan manusia.
Tidak dinafikan, kewujudannya disebabkan beberapa punca yang tercetus atau dicetus oleh kedua-dua pihak, sama ada lelaki mahupun wanita.


Untuk kepastiannya jelas Tuah, terdapat tiga jenis queen control, iaitu jenis mutlak, pertengahan dan permulaan.


"Bagi yang jenis mutlak, tingkahlaku isteri adalah terlalu bersikap mengawal suami 100 peratus hingga suami bagaikan haiwan peliharaan, terpaksa tunduk sahaja atas semua arahan dan kemahuan isteri"


"Jenis pertengahan pula adalah seperti si isteri suka mengawal dan mengarah ikut emosi yang sedang dialaminya. Mereka ini adalah isteri yang bersikap berubah-ubah dan ikut mood tanpa menghiraukan perasaan yang dialami suami ketika itu."


"Manakala queen control jenis permulaan pula kebiasaannya terjadi selepas setahun mendirikan rumah tangga. Waktu itu, isteri mula melihat kelemahan suami serta mula tidak menyukai beberapa sifat pasangannya."


"Keadaan sebegini lebih mudah berlaku apabila si suami seorang yang lemah, kurang bertegas dan kerap memberi muka kepada isteri, iaitu sering tunduk kepada kemahuan si isteri," tegasnya.

Justeru, dalam meneliti punca utama lahirnya sikap sebegini, queen control berlaku apabila si isteri mula melihat kelemahan suami dan merasakan dirinya lebih dominan. Tambahan apabila sejak lahiriah lagi si suami memang suka beralah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan.
"Sebenarnya, suami bukanlah takut pada isteri yang begini, tetapi semata-mata malas hendak memanjangkan perkara kecil atau untuk mengelakkan perbalahan atau pertengkaran yang tercetus.

"Lebih-lebih lagi jika suami terpaksa bergantung nasib kepada isteri, misalnya dalam hal penyediaan makan minum, taraf pekerjaan yang rendah berbanding isterinya, soal pemberian penjagaan anak-anak dan rumah tangga, bahkan soal pendapatan," jelasnya pengaruh mertua juga turut menyumbang ke arah kewujudan sikap sebegini.


Dalam soal jolokan wanita queen control ini juga, mereka tidak mahu rasa tercabar dengan kedudukan yang lebih tinggi daripada pasangan. Sekali gus tidak mahu berasa rendah diri atau wujudnya jurang perbezaan di antara dua pihak, sehingga menjadi perbualan ramai.


"Saya bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlaku. Ia boleh mengancam institusi perkahwinan itu sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat," tegas beliau.


Adakah ia kesilapan daripada sikap lelaki itu sendiri sehingga membuatkan wanita bersikap mengongkong? "Ya, memang silap si lelaki. Sikap beralah itu baik, tapi usah terlalu memberi muka, nanti hilang kredibiliti.


"Suami adalah pemimpin, ketegasan itu kadang-kadang perlu supaya si isteri tidak terbabas memiliki sifat yang salah.


"Realitinya, lelaki akan berasa cepat jemu sekiranya ia berterusan. Lelaki seperti ini lebih rela menjalani hidup sedemikian rupa atas sebab kasih sayang yang besar sebagaimana digambarkan oleh watak Re (Tompel) dalam filem Do Re Mi.


"Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu malah tidak mustahil lelaki akan berasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri," jelasnya.

Wallahua'lam





No comments:

Post a Comment