June 23, 2011

Siapa Saya ?



SEMALAM, HARI INI DAN ESOK, SIAPA SAYA?


SIAPA SAYA?

Apabila ditanya soalan mudah sebegini pada empunya diri, pasti mudah untuk kita menjawabnya, kan? Kita akan jawab nama kita. Mudah saja. Misalnya saya. Jika ditanya siapa saya? Maka dengan senang hati saya akan menjawab, saya Harlina Bt Mohd Nor.

Soalan mudah. Jawabannya pun mudah. Tetapi cuba kalau soalan mudah ini tidak ditanyakan pada kita, sebaliknya ditanya kepada orang lain. Siapa Harlina? Agak-agak anda, adakah yang mengenalinya?
Pasti ramai yang menjungkit bahu. Entah! Tak tahu! Dengan dahi juga berkerut seribu. Itu sangat pasti.
Ada yang tahu pun, mungkin masih ragu. Oh! Harlina yang begitu beginikah? tanyanya pula pada sang penanya, mahu kejelasan. Ataupun, bagi yang kenal, barangkali akan menjawab begini, Harlina tu yang orangnya begitu begini.

ADA APA PADA NAMA

Kalau Harlina ini baik orangnya, maka baiklah gambaran yang digambarkan. Namun, andai sebaliknya, bukankah malu diri sendiri pula? Hairannya kalau ada pula yang merasa bangga!
Jika disebut nama Justin Bieber, pasti kita kenal bintang yang lahir dari You Tube terhangat ini. Terbayang raut wajahnya. Terngiang-ngiang lagu dendangannya. Terkenang-kenang persembahan pentasnya dan anugerah yang diraihnya. Segalanya tentang manusia bernama Justin Drew Bieber, kita tahu. Hanya dari namanya sahaja.

Begitulah juga dengan kita. Setiap kita ada nama. Dan dengan nama itulah kita dikenali. Kita ditakrifkan. Kita diertikan.

Ada yang namanya sedap disebut dan setanding paras tetapi budi bahasanya kurang dan tonggang-langgang. Ada pula yang namanya bagus, tetapi diubah-ubah menjadi nama lain. Seakan-akan malu dikenali dengan nama sendiri. Ada pula, namanya biasa sahaja, tetapi menjadi insan yang luar biasa hebatnya. Sebut sahaja namanya, semua pasti kenal dan tahu siapa dia. Sedangkan dalam satu segi yang lain, kita yang bernama sama seperti dia, biasa-biasa sahaja. Macam tidak ada yang istimewa.

Betullah, kan? Semua yang ada nama baik-baik itu hari ini, telah mengindahkan hari-hari semalamnya. Kalau ada pun mereka pernah terconteng diari mereka, sikit saja. Cepat-cepat mereka padamkan dan buat lakaran baru. Buat yang cantik-cantik. Bagus-bagus. Hebat-hebat.
Cemburulah pada hari ini mereka yang indah!

LUKISLAH PELANGI UNTUK ESOK!

Benarlah, kehidupan kita di hari ini – senang, susah, berjaya atau gagal, obes atau kurus; adalah kerana semalam yang kita lalui. Kita mencorakkan hari ini kita, semalam. Baik yang kita corakkan semalam, baiklah hasilnya hari ini.

Iya, mana mungkin bayang-bayang bengkok terhasil dari benda yang lurus. Kerana itu, kita perlu memilih rupa esok kita. Mahu esok kita indah berwarna-warni, maka hari ini lukislah pelangi. Mahu esok kita kelam dan suram, biarkan hari ini kita kelabu dan beku.

Dari situlah, diri kita ditakrifkan. Bayangkan kalau dalam diari semalam kita banyak tercatat segala yang bukan-bukan yang kita lakukan. Adakah kita ini akan ditakrifkan sebagai insan yang baik-baik? Anda memilih untuk menjawab bagaimana? Jawab ya, bermakna, kita harus memutihkan diari hari ini. Jika dijawab tidak, sambil berhujah sinis, “ada aku kisah?”, maka kanvas hidupnya akan begitu-begitu sahajalah, gayanya.
Mahukah esok, nama dan diri kita digandingkan dengan label yang mengaibkan? ”Kenal si A tu?”, tanya si polan. ”Oh, si A yang kaki ponteng kerja tu? Siapa tak kenal!”, jawab yang seorang lagi.

Atau mungkin juga dialognya begini:

A : Itulah si D, yang saya ceritakan sebelum ni.
B : D? D yang suka keluar malam tu ke?

Aib bukan, jika itu tentang diri kita? Si A ditakrifkan sebagai seorang kaki ponteng. Si D pula kupu-kupu malam. Sudah tentu kita tak mahu kita dikata-kata sedemikian. Acapkali juga, jika diri kita diperkatakan orang tentang yang buruk-buruk itu, kita akan marah dan melenting. ’Ish! Asyik cari salah saya sahaja’, getus hati kita.

Memang. Seperti yang telah kita baca sebelum ini, bayang bengkok bukan terhasil dari benda yang lurus. Jika kita tak suka kita dinilai segala yang tidak elok itu, baiklah kita mengelokkan diari kita hari ini.
Kita barangkali cuma ada hari ini sahaja. Semalam sudah lepas. Seminit tadi juga sudah berlalu. Esok kita tak tahu, kita ada masa lagi atau tidak. Kerana itu, usah tunggu-tunggu lagi untuk melakarkan warna pelangi. Jangan biar hari ini terlepas pula. Andai kita terlewat, takut-takut kita hanya melihat pelangi pada esok orang lain. Sedangkan kita hanya diarak mendung tak berwarna.

Rupa paras bukan ukuran esok kita adalah cerah dan indah. Tetapi isi diari hidup kita yang pentingnya. Indah rupa, belum tentu ditemani bahagia. Tetapi jika hari ini kita penuhkan dengan yang baik-baik, semua yang ada rupa pun akan cemburu sama.

Biarlah diri kita pula dicemburui kerana warna-warni pelangi hidup kita pula. Mesti seronok!

sumber gambar: Google

TAKRIFLAH DIRI SENDIRI

Hari ini, andai terasa agak suram, cuba toleh pada semalam. Lihatlah siapa kita semalam. Pasti ada kena-mengena. Usah salahkan orang lain. Sebab tiada siapa berhak memaksa kita memilih jalannya. Kalau salah, kitalah yang sengaja ke situ. Sebab ini hidup kita, kitalah yang pilih.
Dan hari ini juga jika warna hidup kita pudar, inilah masanya untuk menukar warna itu. Biar esok terang dan gemilang! Sesudah itu, jika ditanya lagi siapa saya, pasti kita boleh menjawabnya dengan bangga dan besar hati. Sekalipun orang lain yang bertanya tentang kita, sudah tidak risau lagi.
Sebab kita sudah mentakrifkan diri kita sebaiknya untuk hari ini dan esok.
Semoga nama kita yang cantik, sehebat tuan dirinya!


1 comment:

  1. Asal kita adalah dari tulang belakang Nabi Adam dan sewaktu di alam Ruh kita pernah bersumpah-setia dgn Allah SWT! Surah Al`Araaf:172 Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
    Kemudian dari ini, terbinalah air dari lelaki dan perempuan yang lemah dan hina. Surah AlMursalat:20 أَلَمۡ نَخۡلُقكُّم مِّن مَّآءٍ۬ مَّهِينٍ۬ Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?
    Betullah seperti apa yang enti kata, siapalah kita ni disisi Allah SWT dan manusia. Kita ni bukan siapa2 dan tidak dikenali pun.
    Surah AlInsaan:1هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَـٰنِ حِينٌ۬ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ يَكُن شَيۡـًٔ۬ا مَّذۡكُورًا Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
    Tetapi yang menentukan darjat kita adalah sejauh mana kita bersungguh mengikut petunjuk Allah SWT. Wallahualam

    ReplyDelete