June 27, 2011

Bahagia Hingga ke Syurga


Siang tadi, semasa pulang dari kuliah saya terfikir sesuatu yang unik, lantas saya terfikir sesuatu, wanita & lelaki dijadikan dalam perbezaan, tetapi mengapa disuruh untuk hidup bersama. Tentunya ada 'persamaan' dalam perbezaan kedua-dua ciptaan tersebut. Minyak dan air tidak akan bercampur secara lumrah, tetapi apabila sudah sebati menjadi Kuah Kari, soal perbezaan tidak lagi menjadi pertikaian.

Pokoknya kita boleh bersatu, sebenarnya perbezaan akan mengeratkan hubungan antara pasangan. Salah satunya adalah aspek perasaan. Dua ciptaan pastinya mempunyai 2 perasaan yang berlainan. Waktu juga berlainan. lalu bagaimana kita mahu menyeimbangkan Perasaan tersebut agar sentiasa dalam situasi yang aman & harmoni.

Berikut adalah tips yang cuba-cuba saya fikirkan. Ada 4 situasi yang memerlukan kerjasama antara pasangan untuk mengharmonikan perasaan. Tolak-ansur adalah jawapannya:

1- KETIKA SUAMI & ISTERI, KEDUA-DUANYA DALAM PERASAAN GEMBIRA

Masa ini adalah masa paling berharga untuk pasangan, mungkin agak sukar untuk mempunyai "pertembungan" masa seperti ini.

Pasangan harus menggunakan masa ini sebaiknya, kerana masa seperti inilah masa untuk membuktikan kasih-sayang dan rasa cinta kepada pasangan. Isteri perlu meringankan tulang untuk membantu apa jua bebanan suami, mood & perasaan yang baik akan membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk melakukan apa sahaja. Banyakkan interaksi antara pasangan, dengan cara ini ia akan mengeratkan hubungan "dua hala".

Menggunakan sebaiknya masa "emas" ini untuk menzahirkan rasa cinta antara pasangan
Suami pula harus menghargai segala penat lelah isteri yang sudi membantu tanpa disuruh. Tidak salah jika suami mahu melakukan tugas isteri. Wanita apabila dalam mode gembira, dia suka bercerita & memberitahu apa yang dirasai, jadi suami harus menjadi pendengar setia, dan sebaiknya suami perlu memberi respon yang positif, itu sifat wanita, suka bercerita dan suka dihargai. Kalau dipuji, lebih mereka suka.

Suami pula jangalah berat mulut untuk memuji kelebihan isteri, sesekali sebutlah: "Yam, I suka kalau you selalu pakai bedak sejuk tu, nampak cantik macam Siti Nurhalija"

Tak rugikan memuji? bukan orang lain pun, isteri kita juga. Pendek kata, dalam situasi (1) ini, pasangan harus menunjukkan kegembiraan masing-masing dengan melakukan sesuatu yang disukai oleh pasangan.

2- KETIKA SUAMI & ISTERI, KEDUA-DUANYA DALAM PERASAAN MARAH ATAU SEDIH

Pertama, suami harus bijak mengawal emosi, antara marah seorang lelaki dan marah seorang wanita sangat berbeza. Lelaki mempunyai akal yang 'lebih" berbanding wanita, tidak hairanlah jika wanita sedang marah, emosi mereka akan mengatasi rasional mereka. Berikan peluang untuk isteri meleraikan kemarahan mereka, suami macam biasalah, jadi pendengar yang setia. Tension itu nombor 2, yang penting isteri tersayang mesti dijaga.

Oleh kerana kedua-duanya sedang marah, suami lebih layak untuk bertolak ansur dahulu, jangan menampakkan yang anda sedang marah, apatah lagi menghamburkan kemarahan kepada isteri yang sedang dalam kondisi yang tidak stabil (marah). Sebaiknya, pasangan boleh mengasingkan diri seketika untuk meredakan kemarahan masing-masing, siapa yang reda (hilang kemarahan) dahulu dialah yang harus menjadi "Pemujuk pasangan yang merajuk"

Suami harus dahulu mengalah, simpan saja marah itu.
kalau isteri merajuk, suamilah pujuk. kalau suami merajuk, isterilah pujuk. kalau dua-dua merajuk, anak-anaklah yang pujuk kot? hehe.. Kalau tak makan saman juga, "hantar saya balik ke rumah mak!" hihi..

Dalam situasi (2) ini, aspek paling utama yang perlu dipraktikkan adalah tolak ansur. Jika masing-masing mahu mempertahankan kemarahan, saya dapat bayangkan, bukan kuali dan pinggan sahaja yang berterbangan, bahkan tong gas juga mampu dihayun oleh isteri kepada suami, percayalah!

3- KETIKA SUAMI DALAM PERASAAN GEMBIRA, MANAKALA ISTERI SEDANG MARAH ATAU BERSEDIH

Dalam situasi ini, suami tidak dapat tidak mesti bertolak-ansur dan beralah. Mesti "berkorban" telinga untuk menjadi pendengar setia. Langkah yang paling bijak adalah, suami harus mendalami apa yang dirasai oleh isteri, menunjukkan rasa empati & sedikit rasa simpati. Kalau isteri bersedih kerana dimarahi oleh boss, suami juga harus menjiwai suasana itu. Kalau isteri bersedih kerana kucing kesayangannya mati, suami juga mesti merasai kesedihan itu.

Pujuk isteri dengan sesuatu yang pernah menggembirakan dia. Namun, sebelum memujuk, pastikan kemarahannya tidak berada dikemuncak, biarkan marahnya terlerai sedikit. Kalau isteri yang sukakan bunga, hadiahkan mereka sekuntum bunga yang disukai, kalau yang meminati kek, tempahlah sebuah kek khas untuk mereka, kalau yang sukakan barangan kemas? fikir dulu, silap-silap haribulan perang besar jadinya.

Suami harus "menjiwai" kemarahan atau kesedihan yang di alami oleh isteri
Wanita kebanyakkan akan "cair" dengan kata-kata suami & kuntum bunga. Ada wanita yang hatinya lembut, dengan kata-kata saja, marahnya mudah hilang. Terpulanglah pada pasangan masing-masing untuk memujuk.

Jangan pula suami sengaja bergelak-tawa di hadapan isteri, kononnya nak meleraikan kemarahan isteri, silap hari bulan "tidur" di ruang tamulah jawabnya.

4- KETIKA ISTERI DALAM PERASAAN GEMBIRA, MANAKALA SUAMI SEDANG MARAH ATAU BERSEDIH

Sama seperti situasi ke (2), suami dianugerahkan oleh ALLAH akal yang mampu mengawal emosi, jadi gunakanlah kelebihan itu untuk tidak berlebih-lebihan dalam marah.

Jangan jadikan isteri tempat melampiaskan kemarahan, mereka tidak bersalah. Mungkin mereka telah cuba memahami hati si suami (yang sedang marah) tetapi tersalah cara hingga membuatkan suami bertambah marah. Isteri sudah berusaha memujuk, suami pula mesti menghargai usaha mereka. Kalaupun kemarahan suami masih tidak hilang, apa salahnya jika "buat-buat" senyum, sekurang-kurangnya ia sebagai motivasi dan jalan kecil untuk mengurangkan rasa marah.

Orang lelaki kalau sedang marah, mereka tidak sukakan suasana yang bising & serabut
Isteri pula harus memainkan peranan sebagai "agen pemujuk". Ketika ini, jangan lakukan apa yang tidak disukai oleh suami atau apa sahaja yang boleh menambahkan lagi kemarahan suami, seperti banyak bercakap. Orang lelaki apabila sedang marah, mereka tidak suka suasana yang bising, mereka perlukan suasana yang sunyi & tenang, marahnya akan segera hilang. Orang lelaki kalau tidak dipujuk pun boleh hilang marahnya. Tetapi kalau dipujuk, mereka lebih cepat reda.

Sama sahaja, isteri harus melakukan sesuatu yang mampu mengembalikan senyumnya. Mood seorang lelaki akan mudah ceria jika diransang dengan suatu yang disukai. Masakkan makanan kegemarannya, itu jalan yang paling mudah untuk menambat semula hati suami yang sedang berduka.

KESIMPULAN

Begitulah lumrah kehidupan suami isteri, ada masanya suami harus mengalah, ada masanya isteri pula harus mengalah. Mengalah dalam erti kata berusaha untuk menjernihkan suasana. Suami yang mengalah tidak rugi, isteri yang memujuk juga tidak rugi, keduany saling memerlukan antara satu sama lain. Jika masing-masing tahu menjaga hati pasangan mereka, bahagia akan berpanjangan sampai ke syurga.




1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt
    Minyak dan air tidak boleh bercampur. Tetapi jika kita ada `emulsifier` atau pembaur spt hempedu ttn boleh bercampur kedua2nya. Begitu jugalah suami-isteri jika ada kesefahaman dan saling redha-meredhai, tentu segalanya dapat diatasi. Surah AlBaqarah:232 ...إِذَا تَرَٲضَوۡاْ بَيۡنَہُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ Apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak).
    Tetapi dlm keadaan skrg, kalau sekadar kesefahaman sahaja tetapi tidak buat apa2 selepas hidup bersama maka sia2lah hidup ini. Bukankah kita dituntut sama2 mempelajari AlQuran dan Hadis Rasulullah saw sehinggakan para sahabat tidak melepasi dari 10 ayat jika tidak benar2 memahami. Dari `Umash dari Abi Wa`al dari Ibnu Mas`ud beliau berkata,` Adalah seseorang drpd kami apabila mempelajari 10 ayat AlQuran, tidak akan melepasi (beralih) seterusnya sehingga kami benar2 memahami makna dan mengamalkan ayat2 tersebut` Mukadimah Tafsit AtTabari 1 dan dikeluarkan juga oleh Bukhari dlm Kitab Fathul Bari m/s9 dan Mukadimah Usul Tafsir bagi Ibnu Taimiah.
    Dlm keadaan skrg, dimana sistem berorientasikan ilmu yang menyukarkan kita mendekati AlQuran dan banyak menghabiskan masa kearah lain, maka kesefahaman psgn hidup sangat2 diperlukan supaya tidak termasuk golongan yang lupa janji2 kepada Allah SWT (Surah Al`Araaf:172-173أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ (١٧٢) أَوۡ تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أَشۡرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبۡلُ وَڪُنَّا ذُرِّيَّةً۬ مِّنۢ بَعۡدِهِمۡ‌ۖ أَفَتُہۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (172) Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu? Wallahualam

    ReplyDelete