March 30, 2011

Jangan Sombong Dengan Takdir





Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.










JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR
Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.. Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!
Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.
Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari…

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?
Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.
Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.
Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.
Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216


Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:
”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

March 29, 2011

kalau sudah rasa mahu berkahwin, usah dilengah-lengahkan







Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.


Apalah 'cantiknya' pada sekuntum bunga, jika baunya tidak harum dan busuk!

CINTA SEMPURNA

Ketika fikiran dikusutkan dengan jodoh yang tidak kunjung tiba sedang usia semakin lanjut dan berlalu, ia ditambahkan pula dengan kekusutan dan persoalan, pasangan yang bagaimanakah harus dicari untuk memenuhi pilihan hati. Pastinya kalau ditanya pada diri-sendiri, mereka inginkan yang paling sempurna, kata orang putihnya ‘perfect’

Lalu, cuba ambil masa sejenak untuk bertanyakan pada diri-sendiri. Pada sekalian wanita, rasa-rasa anda lelaki yang bagaimana pada kaca mata anda bahawa dialah seorang yang paling sempurna? Adakah yang seperti ini?

Lelaki yang mempunyai wajah yang tampan, mempunyai tubuh yang tegap dan sasa, iras hidungnya mestilah seperti Brad Pit, seorang yang memahami perasaan wanita, tak mahu yang bertubuh gempal, dan sebagainya.

Lagi?

Mestilah mempunyai kerjaya yang besar agar duit pun ‘besar’ dan mewah, Duda pun tak mengapa janji berada, yang ada gelaran Dato’ dan berpengaruh, romantik, sekurang-kurangnya mempunyai sebuah rumah banglo dan beberapa buah kereta mewah. Pendek kata, lelaki yang boleh memberikan kebahagiaan melalui hartanya yang bertimbun-timbun tersebut.

Ataupun,

Lelaki yang tidaklah terlalu kacak namun mata tidak jemu memandangnya, hati pula asyik rindu bila jarang bertemu kerana baik budinya, tidak berpelajaran tinggi namun dihormati kerana ketinggian akhlaknya, duit atau hartanya cukup untuk menyara kehidupan walaupun kadangkala ada melalui kesusahan dan ujian, mampu memberikan bahagia dengan agama yang dianutinya, tidak romantik tetapi sangat memahami kehendak pasangan.

Pada seorang lelaki pula, wanita yang bagaimana menurut kaca mata anda bahawa dialah seorang yang paling sempurna, yang anda ibaratkan dialah sebagai bidadari yang layak bertakhta di hati anda. Siapakah dia?

Wanita yang cantik, comel, ayu dan berkulit putih. Kalau boleh hendak juga yang berlesung pipit agar tidak puas setiap kali memandangnya, pandai memasak makanan kegemaran suami, apabila disuruh tidak membantah, dan pandai bergaya.

Lagi?

Wanita yang tidak cepat merajuk dan tidak selalu marah-marah, berharta dan berketurunan yang kaya-kaya, yang pandai mengambil hati mertua serta sanak-saudara, yang reti memandu kereta agar tidak menyusahkan suami untuk menghantar anak-anak ke sekolah, tak bertudung labuh pun tak apa janji tutup rambut (kira OK-lah), dan yang paling penting sporting atau tidak cerewet, itu tak boleh ini tak boleh.

Atau,

Wanita yang berakhlak dan agamanya dicurahkan kepada seisi keluarga serta anak-anak, tahu mengambil hati suami tatkala suami bersedih, Kalau salah ditegur dan saling menasihati, wajahnya tidak secantik bidadari tetapi menjadi bidadari di hati suami kerana malunya, rautnya tidak jemu ditatap kerana sering menghadiahkan ketenangan. Solatnya dijaga rapi, menjaga keaiban suami dan keluarga, tidak kaya harta tetapi mampu memberikan dan melahirkan anak-anak yang soleh untuk suaminya.

Ketika mata diberi peluang melihat kesempurnaan yang bersifat material, hati tersisih untuk memilih kecantikan yang bersifat rohani dan hakiki. Setiap kali mahu memilih calon pasangan, aspek jasadiah sahaja (jasmani) yang sering didahulukan berbanding aspek dalaman. Akhirnya cantik atau kacak menjadi kayu ukur utama kepada nilai kesempurnaan seorang manusia. Apabila tidak menemui yang cantik, telah dikira gagal untuk mendapatkan sebuah kesempurnaan.

Wanita yang sempurna adalah wanita yang cantik wajahnya.

Lelaki yang perfect adalah lelaki yang mempunyai raut muka yang kacak.

Agama pula letaknya di mana?

SEMPURNA DI MATA, SEMPURNA DI HATI

Cuba ketepikan seketika soal kecantikan jasmani dalam hal memilih pasangan hidup. Ketepikan jua soal kekayaan material dalam hal mencari jodoh. Dahulukan aspek yang dapat memberikan kecantikan rohani. Saya kira cantik itu apabila kita dapat merasakan hakikatnya pada sebuah kecantikkan. Kalau mata sahaja yang puas memandang tetapi hati kerap resah dengan perangainya, itu belum dikira cantik seperti yang diidamkan.

Begitu juga, jika kesempurnaan itu hanya mampu memberikan kebahagiaan yang sementara, ia tetap belum dikira sebagai kesempurnaan yang hakiki. Bagi saya, jika seorang itu mempunyai sepasang mata yang mampu berkelip, hidung yang boleh bernafas, telinga yang mampu mendengar dan tidak mempunyai cacat anggota badanpun sudah memadai untuk memberikan separuh daripada tafsiran kecantikkan jasmani. Tidak perlulah kepada hidung yang mancung bak seludang dan sebagainya.

Habis, bagaimana mahu memilih yang cantik dan bahagianya berpanjangan? Lalu kata Nabi saw inilah menjawab segala persoalannya: ‘Nikahilah wanita itu kerana empat perkara, kerana keturunannya, kekayaannya (harta), kecantikkannya. Maka pilihlah pada yang beragama, nesacaya akan beruntunglah tanganmu’

Pendek kata kalau mahu yang dapat memberikan kebahagiaan kepada kamu, pilihlah wanita yang mempunyai agama. Nilai agama inilah yang membuatkan kehidupan anda bahagia sepanjang melalui alam rumah tangga seterusnya kebahagiaan di akhirat kelak.

Apakah yang dimaksudkan oleh Nabi saw dengan suruhan: ‘Pilihlah pada yang beragama’ ?

Agama dalam bahasa mudahnya adalah, mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, menunaikan haji, tidak mengumpat dan mengadu domba, berbuat bakti kepada ibu bapa, menjaga kebaikan sesama manusia, taat akan perintah ALLAH taala, meninggalkan segala larangan-Nya dan lain-lain lagi.

Apa maknanya? Maknanya Agama itu adalah AKHLAK yang baik. Solat itu akhlak, tidak menyebarkan fitnah itu adalah akhlak dan menjaga hubungan sesama manusia itu jua akhlak. Maka, pilihlah pasangan hidup anda di kalangan orang yang mempunyai akhlak yang baik. Kemudian barulah pergi kepada aspek yang lain-lain sebagai sampingan untuk menambahkan lagi kecantikkan hakiki tadi.

Jika perkara inilah yang anda utamakan ketika urusan mencari jodoh, nescaya anda tidak perlu lagi resah dan geliasah jika wanita yang bakal menjadi suri di hati anda tidaklah secantik Siti Nurhaliza atau sekaya Dato’ K. Apa yang penting, dengan akhlak yang dimiliki olehnya, dia bakal membahagiakan seluruh kehidupan anda. Jangan terkejut, ada suami yang tidak sanggup berkahwin lain walaupun isterinya sudah pergi (mati) meninggalkannya selama berpuluh tahun. Baginya dialah yang pertama dan terakhir!

Justeru, kesempurnaan yang dicari adalah kesempurnaan yang bisa memberikan kebahagiaan di mata dan kebahagiaan di hati secara berpanjangan, tidak lain tidak bukan adalah pada agamanya.

CERITA

Semasa di sekolah rendah dahulu, ana mempunyai seorang ustaz.
Tidak silap ana dia pernah mengajar ana subjek Bahasa Arab.

Ceritanya begini, dia menikahi seorang kerani yang bekerja di sekolah tersebut. Isterinya tidak mempunyai wajah yang cantik tetapi baik orangnya, peramah, lemah lembut dengan pelajar. Sehinggalah baru-baru ini ana bertemu dengan beliau secara tidak sengaja ketika ana keluar untuk membeli barang dapur. dia masih tidak dikurniakan anak. Ana kira, usia perkahwinan mereka sudahpun menjangkau 15 tahun.

Ana kagum kerana keintiman mereka seolah-olah mereka baru sahaja berkahwin. Walaupun tanpa kehadiran cahaya mata, hidup mereka bahagia.

Anda pula bagaimana, sanggupkah?
_______________________________________________

Nota Kehidupan (1): Seorang ustazah berpesan, kalau sudah rasa mahu berkahwin, usah dilengah-lengahkan. Soal duit jangan difikirkan, semuanya ada rezeki daripada ALLAH selepas berkahwin nanti.

**credit to Ustazah . hehe :)


‘Aku tidak mampu buat seperti mereka buat’



Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.




Buang Rasa Kekurangan
Seorang wanita cepat merasakan kekurangan diri apabila dia dilihat tidak secantik temannya yang lain. Puas dia mengenalpasti apakah kekurangan itu, tetapi tidak juga ditemui. Namun jauh dari sudut hati mengatakan ‘Aku tidak secantik dan sehebat si polan’

Kulit gelap, hidung tidak mancung, rambut kerinting, bertubuh gempal dan lain-lain lagi kekurangan yang kadangkala membawa kepada rasa tidak puas dengan apa yang dikurniakan oleh ALLAH taala. Akhirnya terbawa-bawa ke dalam sikap yang menjurus kepada merendah diri akibat malu berhadapan dengan teman-teman yang lain. Apabila melihat diri dengan kekurangan, ia akan menyebabkan anda terus mentafsir semua orang di sekeliling anda adalah sempurna, sedangkan mereka juga seperti anda – CANTIK!

Bila tafsiran cantik itu diberi dengan makna menawan pada wajah dan tubuh badan, ia mungkin sekali salah. Ternyata sungguh ramai yang berpegang dengan kata-kata itu. Cantik wajah selalu disinonimkan dengan kesempurnaan seorang wanita. Persoalannya, apakah seorang wanita yang tidak memiliki wajah dan raut yang begitu cantik dia terus terkeluar daripada kategori wanita baik dan sempurna?

Dari ukuran mana anda menilai sebuah kecantikan?

Sungguh zalim dan tidak adil sekiranya kecantikkan diukur melalui material semata-mata. Tidak dinafikan, bahawa kecantikkan itu wajar dinilai melalui pandangan mata kasar, tetapi jauh dari sudut yang lain ia perlu diambil kira – AKHLAQ adalah kayu ukur yang tepat.

Jangan khuatir kepada wanita yang merasakan kekurangan diri, RASULULLAH saw ada berkata: Tuhan tidak melihat kalian pada cantiknya paras rupa, tetapi menilainya pada apa yang ada di hati-mu’

Anda seharusnya mendahulukan syukur kepada ALLAH taala apabila nikmat pertama telah diberi oleh-NYA tanpa membayar apa-apa, iaitu lahir tanpa kecacatan fizikal. Cantik atau tidak cantik itu nombor dua. Mahukah anda bayangkan jika anda termasuk di dalam golongan yang dilahirkan cacat? Buta? Lumpuh dan sebagainya? Ia boleh terjadi kepada anda jika itu yang TUHAN mahukan.

Lalu, untuk terus memotivasikan diri anda yang sememangnya diciptakan sempurna, jauhi daripada memikirkan segala kekurangan yang terdapat pada diri. Fikiran dan konsentrasi kepada memperbaiki kualiti amalan diri adalah lebih bermakna daripada terus berpanjangan memikirkan soal kelemahan dan kekurangan diri. Tidakkah lebih baik, berusaha untuk berfikir bagaimana mahu meningkatkan kualiti sembahyang, puasa dan kecemrlangan diri dalam pelajaran. Itukan yang lebih bermakna?

Seorang wanita yang hebat jiwanya adalah wanita yang tidak kalah dengan kekurangan diri dan sentiasa berfikir untuk ke hadapan walaupun diri merasa tidak sempurna.

Diingatkan, berapa ramai sudah wanita yang memiliki kesempurnaan dan kecantikkan tetapi lebur dalam arus keduniaan. Semuanya gara-gara mahu mengejar kecantikkan yang sementara. Mahu kulit yang licin, tubuh yang langsing, kulit yang gebu dan sebagainya. Kalaulah tubuh yang langsing dan gebu itu menyebabkan para wanita ramai yang terlupa akan auratnya, maka tidak memiliki tubuh secantik itu adalah langkah yang lebih tepat, asalkan prinsip agama dapat dipelihara.

Seorang penulis pernah menukilkan tentang kecantikkan berkata: ‘kecantikkan berada di mana-mana saja. Sungguhpun kita sering mendengar bahawa kecantikkan itu adalah sesuatu yang terlalu subjektif yakni sangat tertakluk kepada relitiviti penilai tetapi selaku seorang yang mahu menjadi seorang mukmin, kita harus memaksa diri sendiri untuk terus percaya bahawa piawaian mutlak ukuran KECANTIKKAN itu berada di neraca ALLAH taala’

Pesan ana, tidak elok merasakan atau melabelkan diri anda tidak mempunyai apa-apa nilai, gagal dan kalah berbanding orang lain. Ini kerana, setiap manusia itu diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Tiada manusia yang perfect!!

Kalian tetap cantik dan anggun jika budi pekerti yang lebih menyerlah.


Rendah Diri, Menjadikan Diri Ketinggalan


Apabila wanita berhadapan dengan situasi yang berat, mereka mudah mengalah lebih-lebih lagi yang merasakan diri terlalu dhaif berbanding orang lain. Diri akan kerap berkata: ‘Aku tidak mampu buat seperti mereka buat’ kata-kata sebegini selalunya akan merencatkan keupayaan sebenar yang pada asalnya anda memang mampu untuk melakukannya. Kerana Manusia itu dilahirkan dalam upaya yang sama. Maksud saya, perbezaan kemampuan yang tidak jauh. Jika seorang wanita mampu memasak, wanita lain juga turut pandai memasak. Sedap atau tidak sedap dikira lain, pokoknya wanita tahu dan reti teknik memasak. Sama bukan?

Hanya seorang kanak-kanak kecil yang masih berhingus di hidung sahaja yang wajar mengeluarkan kata-kata tersebut.

'Aiman tak pandai'

Jika anda wahai wanita masih lagi tidak yakin dengan kemampuan diri, Ini adalah petua yang hebat dan berkesan, dengan bermodalkan alasan yang sama (aku tidak mampu seperti mereka)anda mesti mengambil iktibar kekurangan yang ada untuk meningkatkan keupayaan dan membuang segala aspek kelemahan diri.

Seandainya terasa diri kurang yakin dengan penampilan di depan khalayak, maka perhebatkan gaya penampilan pada pakaian anda dengan cara berpakaian kemas, menarik, dan indah dipandang tanpa berlebih-lebihan (tabarruj). Begitu juga dengan kekurangan yang lain, ia dapat diatasi apabila kita sedar akan kekurangan dan bersemangat untuk memperbaikinya. Kerana itulah, berfikiran positif terhadap diri sendiri amatlah penting. Ia akan menterbalikkan norma negatif kepada positif.

Kekurangan bukan untuk disesali, tetapi untuk diperbaiki dan disayangi.

Sesudah mengenalinya, serlahkan segala potensi diri yang ada untuk melakukan perubahan. Ya, wanita harus berani membuat sesuatu tindakan sekiranya ia baik untuk diri. Keluarkan dan gantikan sikap MALU yang selama ini bersarang kepada BERANI untuk melakukan sesuatu dan bertanggungjawab.

Potensi dapat dicungkil melalui kesungguhan dan kemahuan yang ada pada anda. apa yang penting, anda MAHU dan tidak MALU. Jika betul-betulkan mahukan sesuatu, kesungguhan akan menangkis sikap malu, akhirnya anda mampu melakukan tanpa merasa ada kekurangan diri.

Ketika itu, anda adalah wanita yang sukses! Dalam kerjaya dan juga KEHIDUPAN.


Cantik dan Solehah


Alangkah indahnya pada seorang wanita itu apabila ia memiliki bukan sekadar wajah yang cantik tetapi juga hati dan budi yang indah. Fizikalnya menampakkan kesempurnaan, kemudian ia ditambah pula dengan keindahan budi serta akhlaknya. Ohh, betapa anggunnya saat wanita ini menjadi kepunyaan hati seorang lelaki, ia mempunyai dua kelebihan diri yang diidam-idamkan oleh semua manusia.

SOLEHAH pada diri dan CANTIK pada budi.

Bayangkan jika anda mempunyai teman yang ayu dan comel rupa parasnya tetapi suka mengumpat, tidak menjaga lidahnya daripada menyakiti hati orang lain, menfitnah, menghina teman-teman, dengki dan gemar menyusahkan orang lain. Ketika ini, adakah kecantikkannya masih boleh diiktiraf?

Fikirlah seadanya.

Wahai wanita, tidak mahukan anda menjadi seperti jelitanya Saidatina Aisyah r.ha? atau memiliki keupayaan seumpama Saidatina Khadijah r.ha yang sering menjadi kekuatan dan Inspirasi kepada Rasulullah saw? Ketahuilah kerana kehebatan mereka dalam semangat juang dan jati diri yang kuat serta berkeyakinan tinggi, mereka ini mampu melakukan sesuatu lebih daripada kuasa seorang lelaki.

Biarlah tidak cantik tetapi reti berbudi, biar tidak jelita tetapi tahu pekerti. Ana percaya, seorang wanita itu mempunyai kekuatan mistik yang tersendiri kepada seorang lelaki. Benar atau tidak, seorang wanita yang cantik dan solehah bisa merubah seorang lelaki menjadi SOLEH sepertinya juga.

Wanita juga mampu menjadi INSPIRASI dan ASPIRASI kepada seorang lelaki dengan hanya memiliki kecantikkan budi dan akhlaknya. Cantik pada wajah belum pasti menjanjikan kebaikkan, tetapi cantik pada budi itulah kecantikkan hakiki.

March 28, 2011

Sakit Gigi




Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.


Sudah 2 hari ana tidak tidur malam. Gara gara sebab sakit gigi. Hanya tangisan sahaja yang dapat ana lakukan.
Allah.  Uish, memang sakit la, sampai tak tertidur. Dan punca sakit ni adalah dari gigi berlubang.
So sebab tak tau nak buat apa, sambil kesakitan bacalah apa-apa info pasal gigi berlubang ni kat internet.

Minta juga pandangan dari sahabiah sahabiah di facebook. Mereka semua merisaukan akan kesihatan ana. Alfun syukran buat semua yang mendoakan, memberi cadangan untuk mengurangkan sakit dan banyak banyak terima kasih kepada "seseorang" yang banyak memberi semangat agar diri ini terus kuat ! Asif buat semua kerana ana telah mendatangkan kerisauan buat semua.

Apapun ana menjumpai laman bahasa Indonesia je. Nampak macam doktor2 gigi Malaysia ni tak buat blog dan sesi soal jawab online atau ana yang tak reti cari, so kamu2 yang nak jadi dktr gigi, rajin-rajinkanlah tulis di internet demi bahan bacaan muda mudi akan datang..

Kesimpulan yang ana dapat, Sakit gigi kalau puncanya gigi berlubang adalah; Gigi yg berlubang kecil tetapi diabaikan, dan di situ sisa makanan berkumpul lalu menjadi pusat pembiakan bakteria dan kilang kesakitan. Lama2 lubang gigi tu jadik besar dan semakin membesar maka sakit pun semakin tenat. Kalau tahap parah, sampai ke otak rasa sakitnya. Sebab lubang tu dah besar, menampal dah tak berguna lagi, dah jadi bubur dengan kata lain.

YE ! ana memang DEGIL. DEGIL untuk berjumpa dengan doktor. DEGIL untuk makan Ubat.
begitulah kelemahan diriku yang masih seperti keanak-anakkan. yang perlu dipujuk, dipujuk untuk makan ubat.

Harlina Oh Harlina..

Waktu tu ubat ubat dia tak lain ialah: (1) dengan mencabut gigi tersebut. Jangan lupa, cabut gigi hendaklah waktu sakit tu takde. Sebab kalau cabut waktu rasa sakit gigi, kesan bius akan tak berkesan menyebabkan kita merasakan 'kesakitan yang dara' waktu gigi dicabut. (Sebab? tak tahu. Hanya menyalin kata2 seorang yang digelar doktor gigi. Nak tahu tanya la doktor gigi :)

Ya Allah. Ana bukan hanya perlukan khidmat nasihat perubatan semata-mata, bukan sekadar teori tetapi disandar kepada sifat kemanusiaan dan juga pengalaman insan yang memahami apa yang dilalui. Walau kondisi tidak sama namun perasaan dan juga pengalaman akan menyejukkan hati. Insya Allah, I will survive.  Allah kan ada.  Allah kan ada.


Apabila badan itu menderita sakit, maka tidak berguna makanan, minuman, tidur dan rehat. Demikian jua pada hati, (apabila telah ditimpa oleh cinta dunia) maka tiap nasihat itu tidak memberikan manfaat kepadanya -Malik bin Dinar-

Sakit kifarah dosa...

Sakit itu kifarah dosa buat hambanya.


Ada mesej yang ingin disampaikan melalui sakit itu.



Sakit itu akan mengajar erti kesihatan.



Sakit akan menyebabkan kita menghargai nikmat kesihatan.



Sakit mengajar kita supaya bersifat qanaah.



Sakit menginsafkan kita sebagai seorang hamba Allah.



Moga terus tabah menghadapinya....


'Semakin malu, semakin laku !'






Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.


MALU - Jadilah anda satu dalam ribuan wanita

Sungguh pelik? Mengapa harus malu lagi pada suami, bukankah dia telahpun menjadi milik kita? Pendek kata, apa sahaja yang tak dapat dilakukan sebelum berkahwin kini sudah menjadi halal, kenapa mesti malu? apalagi yang mesti dimalukan di hadapan suami sendiri?

Isteri harus pemalu pada suami, itulah petua kekal bahagia yang panjang!

Kekalkan sifat malu yang ada dalam diri seorang isteri, itulah kehendak sebenar seorang suami. Naluri suami menginginkan seorang isteri yang pemalu dengannya, mengharapkan malu itu terus berpanjangan sehingga ke usia tua perkahwinan. Orang dahulu, sampai beranak sepuluhpun masih lagi mempunyai sifat malu mereka kepada suami.

Janganlah menganggap status halal untuk menghilangkan segala sifat malu kepada suami. Kadangkala suami akan bertambah meluat, jika isteri selalu mengada-ngada dan terlalu manja. Ini salah satu angkara isteri yang tertinggal sifat malunya.

MALU YANG MENDATANGKAN SAYANG


Cuba anda bayangkan, apabila suami pulang daripada penat bekerja, si isteri menyambut kepulangan suami dengan berpakaian t-shirt lusuh dan kain batik yang sering digunakan untuk memasak, bau usah dikata. Sambil-sambil terkulat senyum si isteri mencapai briefcase suami lalu beredar. Apa perasaan suami ketika itu?

Di hujung minggu pula, isteri tidak langsung pandai untuk berfesyen, dan masih lagi kekal dengan kain batiknya dan t-shirt lusuh, cara berjalan juga sudah ‘bersepah’ tidak seperti ketika mula-mula diijab-kabulkan, rambut mengerbang seperti Mak Lampir! Jangan terkejut jika suami sendiri tiada selera untuk menatap wajah anda sedangkan wajah itu jugalah yang pernah membuatkan si suami tidak tidur malam dan angau sewaktu bercintan dahulu.

Kalau dahulu sebelum berkahwin, jika bakal suami ingin bertandang ke rumah bakal mertua, si isteri akan mengenakan pakaian yang paling cantik, muka dibedakkan dengan teliti sampai hilang jerawat batu. Tutur katanya pun sopan sahaja, anak matanya walaupun rasa teringin untuk menatap wajah bakal suami, tidak terus-menerus dizahirkan, bahkan hanya mencuri pandang dari jauh.

Alangkah bahagianya ketika itu, kerana setiap tingkah-laku dirapikan dengan sebuah perasaan malu. Malu kalau-kalau bakal suami tahu akan keaiban dan kelemahan diri, lalu setiap pergerakannya disantuni dengan sikap berhati-hati. Pendek kata, malu ketika itu adalah malu yang sungguh perfect! (sempurna).

Ah! Itu semua ceritera malu semasa bercinta dan sebelum berkahwin yang sudahpun berlalu. Bila sudah memiliki, malu sudah tidak ada peranan lagi dalam perhubungan suami isteri. Oleh kerana ramai yang beranggapan beginilah, si suami tidak segan-segan untuk berpoligami, bukan kerana lelaki yang bernafsu tinggi, tapi salah isteri yang kurang menjaga malu.

Alahai..

Tahukan anda, malu seorang isteri itu ibarat perawan, iaitu memelihara kesucian gadisnya agar tidak tercemar. Kesuciannya hanya diserahkan kepada insan yang bernama suami. Jiwa dan raganya jua tidak mudah diberikan kepada sesiapa. Itulah gambaran sifat malu seorang isteri.

Ana percaya dan yakin, apabila seorang isteri senantiasa mengiringi setiap perbuatannya dengan malu, dia pasti akan melakukan apa saja untuk suaminya dengan usaha yang terbaik kerana sayang dan cinta akan suaminya. Apabila mahu menyajikan makanan, maka si isteri akan menyediakan masakan yang paling sedap, dan bimbang jika suami berkecil hati kalau-kalau masakan yang dihidangkan tidak menepati selera suami. Atau dengan kata lain, si isteri malu jika tak mampu menyediakan segala yang terbaik untuk suaminya.

Inilah dia malu yang bakal membibitkan rasa kasih dan sayang antara pasangan.

Ketahuilah, apabila isteri sering bersikap malu dengan suaminya, suami akan sentiasa memerhatikan dan sering mendambakan. Bila berdekatan terasa bahagia, bila berjauhan pula datang rasa rindu, terbayang-bayang wajahnya selalu. Tidak mustahil jika isteri yang pemalu ini, suami sentiasa mengharapkan kehadirannya pada setiap masa untuk mendampinginya, kalau boleh biar ke mana-mana sekalipun suami mahu bersamanya.

Lama-kelamaan, malu ini akhirnya mengeratkan sebuah hubungan. Semakin tinggi malunya, semakin erat kasih dan sayangnya. 'Semakin malu, semakin laku!'

Suami kadangkala tertanya-tanya, mengapa tiada ada lagi suasana seperti dahulu. Semasa mula diijab-kabulkan isteri selalu ‘menjual mahal’, tutur kata tidak menyakitkan, pakainya selalu yang indah-indah untuk suami, kini suasana itu seakan sudah hilang, isteri terlalu murah buatnya, mudah saja mendedahkan segalanya. Adakah malu pada isteri sudah tiada?

Kalau semua perkara mudah didedah, tiada lagilah yang indah. Hambar.

Malu akan menambahkan seri buat isteri, kerana segala-galanya akan dilakukan dengan berhati-hati. Apa tidaknya, bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah di kamar tidur, si isteri sentiasa memelihara tingkah-lakunya, tidak hairanlah jika isteri selalu menjual mahal, maka suamilah orang pertama dan terakhir menjadi pemburu isteri yang setia.

Jika berjauhan, terasa membuak-buak hati suami mahu pulang ke rumah, jika berdekatan seakan tidak mahu berpisah. Ditatap wajah si isteri namun tidak puas, kerana di sebalik wajah itu ada penyeri yang mengindahkannya, iaitu sifat malu.

Anda mesti terasa sejuk, apabila isteri yang mula-mula anda kenal dahulu tidak jauh berbeza dengan dia yang ada sekarang. Sifat malu yang dipelihara dahulu masih lagi dilihat sehingga kini. Kalau dahulu sering berwangian, duduknya dijaga rapi, rambut pula disisir cantik dan segalanya seakan dilihat masih terpelihara. Seperti baru semalam mengenali si isteri. Cantik isteri dipelihara dan dihiasi dengan sikap malunya.

Hati suami mungkin berkata: ‘kalau beginilah isteri-ku, dialah bidadari dunia dan akhirat-ku!’RASUL ITU PEMALU ORANGNYA!

Rasulullah seorang yang pemalu. Dalam sebuah hadith ada menyebutkan: ‘Malu Rasululullah saw itu melebihi seorang gadis. Jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan baginya, kami dapat melihat melalui raut wajah baginda’ (Sahih Bukhori)

Kata Nabi saw lagi: ‘Apabila kamu tiada malu, lakukanlah segalanya’ (At-Tarmizi).


Lalu tidak hairanlah, seandainya hilang sikap malu dalam diri seorang muslim, maka akan terjadilah perilaku yang tidak boleh diterima akal kerana dia bisa melakukan segalanya tanpa segan dan silu.

Bila tiada rasa malu antara pasangan, samada isteri mahupun suami tanpa rasa malu mendedahkan cerita-cerita yang seharusnya menjadi rahsia dalam rumah tangga. Isteri mencanangkan keburukan suami kepada orang lain, suami pula sering memperlekehkan kemampuan isteri dan kelemahannya. Sedangkan jika malu yang menjadi pegangan antara pasangan, mereka akan meletakkan rasa saling menghargai. Kelemahan dijadikan guru dan pengalaman untuk diperbaiki.

Para isteri, ingat-ingatlah saat indah sebelum berkahwin, anda menjadi buruan kerana ketika itu anda seorang yang pemalu. Pakainya dijaga kerana malu, tutur-kata dipelihara kerana malu, akhlaknya disantuni kerana malu, semuanya dijaga kerana malu. Kerana itu anda menjadi buruan suami yang sentiasa diperhatikan. Cantik itu bukan sahaja pada paras rupa tetapi pada keelokkan adab dan rasa malu. Itu lebih mahal daripada segala-galanya.

Mahal harga seorang isteri pada sifat malunya, murah harga dirinya setelah hilang malunya.

PENUTUP

Selagi malu yang menjadi pedoman antara pasangan, kebahagiaan akan terus berpanjangan dalam rumah tangga. Isteri yang pemalu adalah idaman semua lelaki. Tiada yang lebih berharga selain dikurniakan dengan pasangan hidup iaitu seorang isteri yang pemalu. Kerana malu, seluruh kehidupan suami isteri akan terjaga.

Malu diibaratkan seumpama sebutir permata yang disimpan rapi, siapa saja yang mahu melihatnya perlu membukanya dengan berhati-hati. Ia tidak mudah dibuka oleh sebarangan orang. Kerana ia terlalu berharga maka ia disimpan dengan jagaan yang baik.

Malu itu dipelihara dan akan memelihara tuan empunya diri.

__________________________________________________

Nota Kehidupan (1) ‘Ana menaip artikel ini bersama alunan nasyid Isteri Solehah dendangan Kumpulan Saff-One agar jiwa mengenai penulisan ini datang bersama’

Nota Kehidupan (2) ‘Membuat keputusan antara sebuah hidup dan mati adalah terlalu rumit. Kadangkala ia mendorong diri serba menyalahkan kalau-kalau tersilap mengatur sebuah pilihan. Mungkin itu adalah yang terbaik namun hati gusar dan sukar menerimanya. Ana harus menangis hari ini untuk kegembiraan masa datang nanti’