Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
CERITERA i
Kata orang, memilih kekasih hati jangan terlalu ideal. Sempurna sifat dan anggota, tampak tenang bila menatapnya sudah memadai. Jika cantik, manis, comel dan menawan itu sudah sebagai satu bonus. Lelaki pun begitu jua, masa memilih jangan terlalu semberono kerana lelaki adalah nakhoda kapal, mesti gagah meskipun dilanda apa-apa jua badai. Kadangkala, si dara mudah tertipu dengan ketampanan sahaja, terlupa mahu menilik-nilik sikap dan perangai lelaki, akhirnya tewas dan baru tersedar bila sudah tinggal sebumbung.
Jangan apabila sudah terpelosok begini dan terngadah, hati si isteri barulah berbunyi rintih sayu: ‘Kenapa suami aku bersikap begini?’
Atau suami pula yang memendam rasa,
‘Aduhai isteriku, tolonglah fahami diriku’
Agaknya, keluhan begini sudah terlewat untuk dihambur-hamburkan. Tinggal hati yang sekeping duduk melayan gundah, memujuk jiwa supaya tidak merajuk. Akhirnya, tatkala hati terus menambah rajuk, mulut terlintas dengan kata: ‘Kalaulah suami/isteri-ku begini dan begini…’
Seorang hamba ALLAH bila ditanya, ‘mahukan orang rumah yang bagaimana nanti?’ jawabnya bersahaja, kerana dia hanya seorang pelajar bahasa, lalu tastenya pun tidak bolehlah terlalu tinggi sedangkan hati teringin mahu menikahi seorang ustazah, bukan sahaja faham tentang agama tetapi boleh juga memandu dirinya dan anak-anak nanti. ‘Yang biasa-biasa sudahlah, yang memahami. Tapi kalau dapat yang lebih baik, apa salahnya’ YA, sudah dikatakan tadi, dia juga mahukan yang baik-baik seperti ustazah.
‘Maknanya, mahukan ustazah jugalah?’
‘Kalau ada yang sudilah’ Jawabnya tersipu-sipu malu, hidung kembang dan merah pipinya. Ohh, teringinkan ustazah rupanya. Biarlah, itu kesukaan dia. Tapi mesti beringat, bukan ustazah sahaja yang boleh memberi agama dan bahagia, doktor, cikgu matematik, jurutera, kerani juga mampu menjadikan sebuah rumah tangga itu bernilai agama bahkan lebih bahagia daripada itu. Belum cuba belum tahu.
Soalnya bukan beria-ria mencari yang baik dahulu, tetapi harus menjadi yang baik barulah dapatnya yang baik-baik nanti. Kalau kamu sendiripun tidak berketayap dan berseluar koyak, jangan pula sibuk mengkritik tudung orang perempuan dan ada terlintas di hati mahukan wanita yang bertudung labuh.
Masakan TUHAN tidak tahu erti keadilan dan sekufu, kerana itu dijanjikan wanita solehah hanya untuk lelaki yang soleh sahaja. Air tak akan bercampur dengan minyak, dan lalat hanya akan hinggap pada sesuatu yang kotor seperti najis, itu sudah fitrah alam dan peraturan sunnatullah.
Pendek kata, yang baik tetap dengan yang baik, usahlah risau!
Nota: carilah wanita atau lelaki yang beragama, atau yang mahukan agama, yang pada tingkah-lakunya mempunyai agama, yang ada pada hatinya rindu agama, yang hidupnya nanti sentiasa membawa agama sebagai pembimbing. Itulah nanti yang akan memberikan cahaya suri di dalam rumah tangga dan penyerah suri agama walaupun dia hanya seorang gadis kampung!
Habis.
CERITERA ii
Seorang sahabat ana dahulu berkongsi cerita apabila cintanya ditolak setelah sekian lama mengikat janji. Tetapi dia tidak muram walaupun ana mengerti hatinya sedih dan berat menanggungnya. Ana sendiri sudah merasakan situasi itu, andailah anda ketika itu sedang belajar, terasa seperti mahu berhenti belajar, hidanglah apapun jenis makanan yang lazat di hadapannya, terasa seperti melihat najis, tiada selera! Tidak hairanlah kalau anda dapat bayangkan, jika yang putus bercinta itu sedang duduk di bangunan tinggi, mahunya tidak terjun ke bawah? Mati dan sakit itu nombor dua, yang penting luka dapat dipadamkan.
Kuatnya penangan cinta.
Namun bukannya dia tidak tahu, wanita yang ada di muka bumi ini bukan seorang sahaja, bahkan lebih dari seorang. Boleh sahaja jika cinta yang lama dan dilukai itu dialihkan kepada cinta baru yang lebih baik. Ah! Kata Pepatah Melayu sangat kuat meracuni fikiran orangnya iaitu Melayu sendiri ‘Kumbang Bukan Seekor, Bunga Bukan Sekuntum’ Pepatah itu bukan lagi menjadi pemujuk hati yang berdarah, tetapi sudah menjadi barah.
Tetapi, sahabat ana yang seorang itu tidaklah begitu, dia seorang yang kuat. Jodoh itu TUHAN yang berkuasa berikan, siapapun pilihan dia, TUHAN lebih berhak memilihkan jodoh untuknya. Akhirnya, dia menemui pilihan hati yang sempurna pada pandangan ana.
Baik akhlak serta budi pekertinya ~
Kita sebagai manusia diberi peluang untuk mentadbir kehidupan dengan kuasa sendiri tetapi dalam masa yang sama takdir ALLAH lebih menguasai sekalian tadbir manusia. Jika Hitam yang sudah tersurat dalam diari Tuhan, maka segala warna daripada tadbir manusia akan terpadam.
Manusia disuruh yakin dengan keputusan sendiri, tetapi mesti juga meletakkan keyakinan pada kekuasaan TUHAN lebih hadapan daripada segalanya.
Tidak mustahil, ada orang yang bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Semuanya lain-lain.
Itulah jodoh – Luar biasanya kerana ia adalah susunan TUHAN yang manusia tidak sempat memikirkannya. Apapun, ia tersembunyi dengan hikmah yang banyak.
Nota: cinta bukan syarat untuk menilai ketentuan jodoh. Kalau sudah jodoh tak akan lari ke mana-mana. Kata orang, bercinta dengan orang lain, berbini dengan yang lain. Itulah kuasa TUHAN, tidak semestinya yang sudah mempunyai pasangan hati akan berkahir di kerusi pelamin.
Habis.
CERITERA iii
‘Jadi, tak bolehlah bercouple?’ soalnya.
‘Kamu sendiri sudah tahu. Kamu juga seperti saya, belajar agama’
Bulan Februari yang lalu, orang sudah mulai sibuk. Lebih-lebih lagi yang sudah berpacaran. Hari mengingati kekasih semakin dekat, Valentime Day. Bukan orang ISLAM sahaja yang suka-suka mahu menyibukkan diri untuk kekasihnya, yang sedang menuntut degree Quran Sunnah juga turut mengambil bahagian, tetapi mereka lebih profesional supaya nampak Islamik.
‘Dah terima hadiah Quran dari saya?’ tulisnya di dalam pesanan ringkas SMS.
‘Untuk apa hadiah ini?’ si dia pula membalas.
‘Saja-saja. Just penghargaan perkenalan kita’
Lembut sahaja kata-katanya. Tetapi kenapa mesti 14 Februari? Bercouple itu sudah pun salah, ditambahkan lagi dengan kesalahan menyambut hari kekasih. Namun, era kini sudah semakin canggih, kalau tidak berhadiah pun tidak mengapa. Hantar sahaja kata-kata cinta melalui telefon Bimbit, hati si kumbang akan berbunga. Hati si bunga sudah kembang kuncup.
Kalau tidak percaya, tengoklah nanti. Malam yang ana katakan itu pasti akan menjelma. Bakal melahirkan lagi beratus-ratus anak luar nikah dan bakal mengorbankan seberapa ramai anak gadis Melayu dan Islam. Remaja bukan sudah tidak tahu akan agama, tetapi perisai diri yang dipanggil MALU sudahpun hilang. Tinggal lagi mereka tidak berbogel dikhalayak ramai, kalau itu dibenarkan seperti di barat, maka akan haru-birulah Malaysia.
Bercinta tidak salah jika laluannya tepat. Agama diletakkan di hadapan, nafsu di letakkan ke belakang. Barulah cinta itu terpimpin.
Namun, ana belum pernah mendengar bahawa couple itu telah dibenarkan dalam agama ISLAM. Kalaulah benar ia sudah ‘dihalalkan’, mungkin ana sendiri yang tersilap dengar.
Nota: ISLAM mengajar cara bercinta yang lebih hakiki. Cinta yang diajar itu bersih dan tenang. Walaupun tanpa hadiah dan penghargaan, cukup sekadar dilandasi dengan kepercayaan dan kejujuran, pasti akan bahagia di hujungnya nanti.
No comments:
Post a Comment