Saya pernah berjanji dengannya untuk memasukkan ini tulisannya di dalam blog saya. Sudah di taip, tapi langsung lupa. Maaf ye.
Jiwa setiap manusia berada di dalam genggaman-Nya. Apa yang terlintas dalam cepu fikiran, apa sahaja yang dibisikkan di dalam hati, semua itu tidak terlepas daripada pengetahuan-Nya. Dia menciptakan kita, dan digalaskan ke atas pundak kita tanggungjawab yang tidak mampu dilaksanakan oleh makhluk yang lainnya. Kita telah menerima watikah perlantikan untuk menjadi khalifah dan pemakmur di atas muka bumi Tuhan. Perjanjian telah termeterai di langit. “Kami bersaksi bahawa Engkaulah Tuhan kami.” Saat manusia dihantar ke dunia, dia telah terikat dengan sebuah janji kepada Tuhan. Keadaan sekeliling, kurang didikan dan pengaruh nafsu yang tidak terbatas telah mendorong manusia untuk melupakan sedikit demi sedikit janjinya kepada kepada PenciptaNya. Benarlah, pemurah dan pengasihnya Dia telah memberikan kita peluang untuk kembali menghadapkan wajah kusam ini kepadaNya dan bertaubat memohon keampunan dariNya yang luas dan tidak bertepian.
Dalam menyelusuri sebuah kehidupan, manusia diberikan kesempatan untuk membuat pilihan. Secara mudahnya, kehidupan terbahagi kepada dua keadaan. Mahmudah dan mazmumah. Keterikatan di antara Iman dan akal yang seimbang akan menjadikan seseorang mampu untuk memilih yang benar, kebaikan dan redha Allah. Hidupnya bahagia dan tenang, kerana dia mengerti, “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.” Dia mengakui bahawa diri dan jiwanya adalah antara cebisan alam yang luas. Maka dengan itu, dia yakin dan amat mengingati bahawa Penguasa bagi diri dan jiwanya adalah Penguasa bagi sekalian alam. “Sesungguhnya dengan mengingati Allah, jiwa manusia akan tenang.”
Keterikatan antara nafsu dan akal yang tidak terlorong untuk melaksanakan perintah dari langit akan menjadikan seseorang itu lupa kepada kehidupan selepas kematian. Serta menjadikan dia lupa tentang kematian itu sendiri. Golongan ini adalah golongan yang telah melupakan ikrarnya kepada Tuhan. Mereka juga adalah manusia yang telah tersilap langkahnya dalam menyelusuri kehidupan. Maka bagi mereka adalah kehinaan, kerugian, dan kenistaan pada pengakhiran perjalanan mereka di dunia. Sekiranya mereka bertaubat dan menemui cahaya dalam kehidupan, ketahuilah bahawa sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih luas dari dosa dan noda yang pernah mereka lakukan. Maka benarlah, kasih sayang Allah itu luas.
Kata Ali karamullahuwajhah, kehidupan adalah mimpi bagi manusia, dan dia akan terjaga dari mimpi saat maut menjemputnya.
Pilihlah, samada ingin menjadi seorang manusia yang berguna atau menjadi seorang manusia yang mendatangkan bencana………
Ilham ini datang dari Tuhan…….
No comments:
Post a Comment