Alhmdulillah, Allah izinkan saya ‘basah’ dengan majlis ilmu sepanjang berada di rumah.
Perkongsian ini mungkin sudah ‘sejuk’ kerana tempoh yang lama dari hari program. Tak mengapalah, saya mahu berkongsi juga.
matlamat utama musuh Islam ialah menghilangkan akidah Islamiah dari hati-hati umat Islam. Macamana caranya? Mereka merosak akidah umat Islam kemudian memadamkan roh jihad. Maka hasilnya, jadilah iman individu muslim itu di dalam keadaan syak kepada dirinya sendiri, berubah prinsip muslim itu daripada kewajipan bekerja kepada muslim yang tawakul sahaja. Akhlak mulia muslim juga di ‘jenamakan’ semula kepada muslim berakhlak buruk.
Butakah mata kita untuk melihat bahawa tersusunnya agenda sang musuh? Kufar menyediakan barisan tenteranya yang mahir dalam semua bidang untuk menyerang kita dari segenap ruang dan peluang. Ini hanya musuh zahir, belum lagi musuh yang ada di dalam diri kita, luaran dan dalaman. Kalaulah kita memikirkan semua ini sungguh-sungguh, sebenarnya kita di serang bertubi-tubi. Mungkin boleh dimetaforakan begini. Pokok yang asalnya dari induk yang baik, selepas berada di tanah dan sedang mahu tumbuh subur, kemudian di suakan kepada matahari yang terlampau terik, usai itu bah pula, dan bila tumbuh sahaja pucuk muda, ada tangan-tangan jahat yang mahu memetik atau menuangkan racun, kumbang dan beluncas datang mencari makan, merosak batang dan daun. Kemudian di akarnya pula, racun mematikan fungsi serapan air, di dalam pokok yang baru mahu besar itu pula ada virus yang datang dari entah mana. Agak-agak bolehkah pokok itu tumbuh subur seperti induknya? Bolehkah? Kalau tak ada perisai yang benar kuat, saya membayangkan pokok itu menyambung kitar alam sebagai humus kepada tanah. Mati.
Begitulah kita, andai serangan-serangan musuh itu seperti batu, kita dibalingkan dengan batu-batu itu 24 jam tanpa henti. Kita luka dengan teruk sekali sebenarnya. Parahnya mungkin boleh menyebabkan kematian.
Namakan apa sahaja, dalam bidang apa sahaja, musuh kita menunggu dengan ‘senyum mesra’ memujuk kita mula mengatakan “Tak apa..” . Apabila kita jinak dan mula mengatakan ‘tak apa’ maka kita telah mula terdedah kepada bahaya meringankan syariat dan aqidah seterusnya. Hiburan tanpa henti, teknologi terkini, wanita, fesyen, makanan dan minuman, keperluan harian, kenderaan, sistem pendidikan, kewangan dan segalanya pada hari adalah dalam acuan musuh. Sedarkah?
Semasa senggang rehat di daurah tempohari, saya termenung sendiri. Saya maklum dengan agenda musuh. Saya faham selok belok kasar strategi mereka. Tapi dari titik mana saya harus bermula? Di mana saya boleh muntahkan kesedaran saya dan kebencian kepada musuh agama saya? Ah, mestinya bermula dari faham. Mengenali potensi diri saya, mengenali agama saya, mendalami segala anasir yang boleh menggugat langkah saya, dan mula melangkah. Dengan membina faham, bermaksud membina perisai untuk menangkis serangan yang makin lebat. Di mana pasak kekuatan perisai saya? Pada kuatnya hubungan saya dengan Allah.
Saya orang muda. Semangat di dalam diri saya besar dan menyala-nyala. Tetapi saya tahan di hujung jari, saya tahan juga di hujung lidah. Supaya saya tidak salah menyalurkan semangat muda ini. Supaya saya tidak sasar menyakiti sesiapa, juga. saya rendahkan diri dengan serendah-rendahnya menadah ilmu dari halaqah. Saya paksakan diri saya melalui disipilin ilmu dari halaqah. Dikit-dikit saya catumkan ilmu yang saya tadah, bentuk kefahaman dan saya keluarkan di hujung jari dan lidah dengan semangat yang sudah terbentuk.
Semangat terbentuk? Tak pernah dengar? Begini, lihat anak muda hari ini berhibur di konsert-konsert atau semasa mereka mengamuk? Itu contoh semangat yang sasar dan samar matlamatnya. Kekuatan semangat mereka yang terbentuk boleh membuatkan dunia ketawa atau meruntuhkan satu negara. Kalaulah semangat anak-anak muda dapat dilentur, mashaAllah, saya membayangkan manusia seperti Solehuddin Al-Ayyubi, Umar Abdul Aziz, Ibnu Sina, di mana-mana sahaja.
Sabda Nabi, “Berlaku baiklah pada pemuda. Kerana mereka adalah yang paling lembut hatinya. Allah mengutusku dengan agama yang lembut, lalu pemuda membantuku. Sedang orang-orang tua menyanggahiku.”
Jangan dilentur besi yang baik dengan kuatnya semangat. Bimbang nanti ia patah. Lenturlah perlahan-lahan dengan faham ilmu dan hikmah. Kelak kamu menjadi besi yang membantu dengan kekuatannya. Tidak patah kerana rapuh karat yang sia-sia.
No comments:
Post a Comment