Bersembang dengan teman, saya ditanya, “Kenapa berusrah?” . Saya gelak dahulu baru menjawab.
“Sebab syurga itu subjektif.” kata saya.
“ Ah, kamu dengan falsafah kamu. Sudah, tolong ringankan untuk saya, untuk apa usrah itu?” Saya mengekek kecil, lucu melihatkannya serabut.
Manusia selalu memberi definisi syurga berdasarkan sempit rasa keseronokan yang mereka rasa. Contohnya, ada golongan mendapat kejayaan yang tidak putus-putus, maka mereka mengatakan bahawa mereka di dalam syurga kejayaan. Tapi nanti bila mereka dipaksakan gagal? Bagaimana? Masih adakah syurga mereka?
Bagi ahli muzik, ahlia perniagaan, ahli cinta dan apa jenis ahli sekali pun, akan mendifinisikan syurga mengikut ilmu dan rasa mereka. Nah, bukankah syurga itu subjektif?
Kita yang muslim, bagaimana pendapat kita tentang syurga?
Muslim yang beriman dengan kehidupan akhirat, harus memandang syurga dari perspektif yang kekal.
Dunia ini seperti permainan, olok-olok sahaja. Syurga sepatutnya kekal, tidak ada lagi kesakitan dan kesusahan sesudahnya. Syurga itu kemenangan akhir yang dekat sebenarnya. Bagaimana indahnya syurga? Oh tidak terbayangkan walau dikerah seluruh akal manusia. Karanglah hikayat tentang indahnya syurga, syurga itu lebih indah dan tidak pernah terdengarkan oleh manusia.
Sekali lagi syurga itu subjektif. Untuk memasukinya, terpulanglah kepada manusia.
Jika kamu meletakkan syurga sebagai kewajipan ke atas diri kamu untuk memasukinya nanti, maka kamu akan mewajibkan diri kamu untuk berada di dalam kebaikan. Sentiasa.
Tetapi jika kamu mensasarkan syurga itu hanya sebagai pilihan, maka kamu akan memilih-milih untuk berbuat kebaikan. Hati jadi berbolak balik samada mahu duduk dalam kebaikan yang membosankan atau bebas dalam kejahatan yang menyeronokkan. Tapi kamu perlu simpan fakta ini kemas-kemas di dalam kepala, bahawa kamu boleh meneruskan kehidupan di akhirat samada dengan memasuki pintu syurga atau diheret ke neraka. Tiada tempat lain di antara kedua-duanya. Syurga itu sebaik-baik tempat kembali, neraka pula tempat untuk mereka yang dahulu di dunia memilih untuk merugi.
Saya, beratur di barisan kumpulan yang pertama. Meletakkan syurga itu wajib ke atas diri saya, maka saya wajib meletakkan diri saya sentiasa di dalam kebaikan. Saya tidak nampak cara lain untuk kekal di dalam kebaikan kecuali berada di dalam kumpulan manusia yang saling mengingatkan. Dan usrah menawarkan suasana solehah itu. Allah jelas memberitahu bahawa dunia ini hanya permainan, dijadikan indah dan melalaikan seperti di dalam surah Al Hadid 57:20.
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan (hiburan), perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
Tiada apa yang boleh dibanggakan di dunia ini sebenarnya. Bila keluar roh dari jasad, badan yang segak, rupa yang molek jadi santapan ulat. Tiada harta, tiada karier, tiada anugerah atau apa sahaja yang boleh membuatkan malaikat Mungkar dan Nakir tersenyum nanti. Melainkan amal soleh yang di kumpul semasa hayat.
Dan Allah juga telah bersumpah atas nama masa, bahawa manusia itu rugi, kecuali yang berpesan-pesan untuk mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran seperti di dalam surah Al-Asr 103:1-3.
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.
Untung atau rugi, syurga atau neraka, terpulang kepada kamu sebenarnya.
Saya kulum senyum, hurai jawapan satu-satu di dalam hati. Si teman jadi kurang sabar, menarik muncung. Saya ketawa lagi, sengaja beri si teman kerja. Mahu dia baca sendiri tulisan saya di laman ini. Hihi.
Pesan: Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Tidak akan tertipu melainkan orang yang tidak berfikir. Jadi, jangan tertipu ya!
No comments:
Post a Comment