Hampir setiap hari sebenarnya saya menaip sesuatu untuk laman ini tetapi sudahnya saya padam semua. Janji saya dahulu laman ini mahu berkongsi hikmah. Saya bimbang sekali jika saya sasar dari janji awal. Saya bimbang jika laman ini saya jadikan seperti diari biasa. Tidak pernah ada maksud untuk saya menyumbang cebis remeh dari hidup saya untuk dibaca orang. Kerana itu saya padam semua tulisan lewat ini. Risau kalau laman ini nanti mencipta kebergantungan saya terhadap manusia. Berkongsi hikmah memerlukan saya mencipta emosi di dalam tulisan. Tetapi, menulis dalam keadaan yang beremosi bukanlah satu perkara yang bijak.
Kosong. Rapuh. Sendiri. Mungkin itu kata terbaik untuk menghurai keadaan saya. Ada rasa takut yang tiada punca. Tidak sedap hati yang tidak berasas. Mungkin kesan dari pil penahan sakit juga. Jarang menelan ubat dengan alasan tidak toleren dengan dadah. Terdesak begini, terpaksalah juga. Sebulan ini rasanya seperti sedang dihukum berat oleh Allah. Seolah-olah diabaikan Allah, diserahkan kepada yang sama tidak berdaya. Mudahnya memberi kata semangat kepada orang. Susahnya bila terpaksa memujuk diri sendiri. Mudahnya untuk melakukan pembetulan teknikal atas kesilapan luaran. Bila hati yang berlebihan menuntut begitu begini, adakah penyelesaian bukan-teknikal yang mungkin? Uh..
Seboleh-bolehnya saya memaksa diri mencari sudut positif dari kejatuhan ini. Diikutkan rasa hati, saya mahu menjauh dari semua. Tinggal tugasan, tinggallah kawan. Semakin saya meminta diberi kekuatan, semakin Allah hantarkan manusia-manusia yang meminta nasihat untuk kebangkitan. Paksa senyum, paksa berkongsi. Tidak mengapalah,bukankah kebaikan selalunya bermula dengan paksa.
Saat rasa sungguh-sungguh berat, alam sangat memujuk. Allah izinkan hujan yang kerap dalam sebulan ini walaupun bahang cuaca cukup panas untuk membakar baran. Hujan kegembiraan saya. Alhamdulillah. Ada pokok besar di sebelah bilik. Seronok sekali ‘membunuh masa’ sambil memerhati kejadian pokok yang gagah ini. Aneh benar penciptaan Tuhan. Indah sungguh kejadian. Melihat langit, burung yang sangat bising bercerita sesama sendiri, manusia yang sibuk dengan yang tiada dan merasakan hujan yang tidak dapat diramal kemesraannya, saya rasa senang sekali. Saya kirim Fatihah, zikir dan doa untuk semua yang saya kenali dan sayangi. Mudah-mudahan dimudahkan urusan semua. Mudah-mudahan diberikan kesabaran atas ujian. Diganti kesusahan dengan kebaikan akhirat. Mudah-mudahan takdir kita tidak terlepas dari pemeliharaan Allah. Ada takdir terbaik, yakinlah!
Alhamdulillah, minggu ini usai separuh daripada persiapan walimah saya yang akan berlansung tidak lama lagi. Tugasan berat juga sudah disempurnakan. Berhenti seketika, saya memandang kebelakang. Rupanya kekosongan itu kerehatan buat saya. Selalu saya merasakan sendiri, tidak berhak meminta-minta untuk didengar oleh orang lain, hidup saya adalah untuk orang lain. Benar, Allah sangat mendengarkan. Tetapi akal selalu mencabar. Hati meminta diadakan seseorang dihadapan buat lawan bercerita. Benarkah saya begitu ter ‘isolasi’ ? Melihat jauh di dalam diri, saya temukan seorang sahabat sejati. Maafkan saya teman, kerana selalu mengambil mudah keberadaan kamu untuk saya. Maafkan hak-hak yang tidak terjaga. Setianya kamu bersama saya, walaupun kamu diri yang selalu saya abaikan. Kamu cermin saya, diri saya.
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Aali Imran 3:133 )
Sudah semakin stabil. Alhamdulillah. Selalu manusia merasakan kekosongan ini. Sendiri dan tiada erti. Bagi yang muslim, bersyukurlah, kerana Allah sebenarnya sangat merindukan kamu. Bonusnya, kerana kamu punya rasa bertuhan. Tidak salah berhenti seketika. Kamu manusia biasa. Tetapi jangan terlalu lama. Jangan bertangguh-tangguh mencapai kebaikan baru. Sudah lama kamu hilang di tengah sibuk dunia yang tidak ada apa. Kamu lupa untuk berlama-lama dengan Allah. Jadi Allah rindu untuk mendengar kamu merayu dan meminta-minta kepadaNya. DiletakkanNya rasa kosong di hati, rasa sempit di tengah-tengah dunia yang luas ini. Dipaksakan kamu sendiri, seolah-olah tiada siapa yang peduli. Sebenarnya Allah menarik kamu kembali supaya tidak jauh sasar dari syurga. Sebenarnya, Allah membetulkan tali tawakal kamu yang semakin kendur kepadaNya.
Alangkah mudahnya hidup, bila selalu bersangka baik dengan Tuhan. Percayalah!
[Kehidupan] : Saya mula RISAU kan keadaan dia di sana setelah mendapat khabar berita tentang itu. Allah. Semoga keadaan kamu dan rakan-rakan baik-baik sahaja . Jaga Diri ya ! Itulah pesan ku padanya tidak putus-putus. Hanya kiriman doa yang mampu saya kirimkan dari jauh. Semoga Allah memelihara kamu. Khair insyallah.
No comments:
Post a Comment