Bismillahirrahmanirrahim~
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
‘ye tak ye jugakan...astaga’
Inilah fenomena orang-orang agama, yang sudah terlebih beragama. Yakinnya sudah menjangkau tahap fana’ sampaikan meninggalkan dosa bukan lagi kerana takut akan Tuhan dan seksanya tetapi atas sebab lain.
Kerana mahunya nanti exam boleh dijawab dengan baik, maka janganlah dulu kita buat dosa atau maksiat, kalau buat juga nanti bimbang akan gagal dalam exam. Habis itu? Sekiranya sudah Berjaya dalam exam, macam mana? Bolehlah kot ya?
Kerana mahunya nanti dipandang elok oleh orang-orang semasa di majlis tahlil, maka dikenakan tudung ala-ala jambul di depan, kalau tidak memakai tudung nanti orang akan kata kita tidak tahu menghormati majlis agama.
Oh ya! Begitukah syarat untuk memakai tudung?
Persoalannya, sampai bila mahu beryakin-yakin macam ini? Sudahlah salah caranya, membabi buta pula itu. Boleh pula meletak-letakkan syarat kalau hendak meninggalkan dosa. Besar sangatkah kita?
Tangguh merokok kerana syaratnya mahu lulus peperiksaan.
Tidak memakai tudung pula kerana takut dipandang serong oleh orang.
Segalanya bukan meninggalkan dosa bersebabkan ALLAH taala.
Aduhai...
IBADATNYA JADI ‘LUAR BIASA’ SEBAB ADA ‘SESUATU’
‘Ke mana Din? Siap berjubah berserban, ada tahlil ke?’
‘Ke Suraulah, solat jemaah sekali-sekala. Alang-alang aku tak tidur malam tadi, terus jelah ke masjid. Lagipun aku exam pagi ini, minta doa sikit-sikit kasi berkat, NAAJIH!’
‘Kau biar betul Din, macam tak percaya aje?’
‘Lantak koranglah’
Sebenarnya buat ibadah ini tidaklah menjadi salah, bahkan jika baik feel laku dan natijahnya digalak-galakkan sangat. Ibadatlah sebanyak mana sekalipun, mahu menyontohi Nabi sehingga bengkak-bengkak kaki pun tidak mengapa, asalkan niatnya hanya melorong pada tempat yang satu, Ikhlas pada Tuhan yang Esa. Sesekali jangan dicampur-gaulkan dengan perasaan lain, nanti sia-sialah amalan kita. Solat entah ke mana, penat yang dapat.
Lazimnya, begitulah tingkah manusia, berbuat sesuatu kalau ada sesuatu yang dia inginkan. Mahu pinjam duit pada ibu, mulalah tunjuk baik di hadapan dia. Mahu pula pinjam sebentar kerata Proton Waja ayah, di lakon-lakonkan kebaikkan itu biar tidak disuruh sekalipun, asal saja dapat apa yang diingin. Bukannya tidak tahu tentang hal diri yang sebenar, kalau diherdik pun belum tentu buat. Itulah lumrah manusia.
Situasi di atas biasa sudah berlaku di alam belajar ini, kadang-kadang sampai terbawa-bawa ke alam kerja-kerja pula. Apa dia tabiat itu? Ibadat perlu dilebih-lebihkan jika ada sesuatu hajat, tapi kalau tiada hajat? Ibadat macam biasa dan sediakala saja.
Biasanya jarang saja nampak si bujang ini turun untuk solat berjemaah di masjid jauh sekali menyarung jubah. Tetapi boleh menjadi ‘alim’ sekejap apabila masuk musim-musim peperiksaan. Katanya mahu dapat berkat, kalau beroleh berkat nanti, mudah-mudahan boleh berjaya dalam peperiksaan. Lalu dibanyakkan ibadatnya sebanyak-banyaknya sehingga tidak seperti yang biasa. Kalau dulu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya hanya berkampung di surau-surau "at-taqwa", tetapi di kala peperiksaan ini ‘kena’ turun juga ke masjid, agar beroleh keberkatan. Hasilnya, terbinalah ibadatnya yang hangat-hangat tahi ayam yang hanya sementara saja, habis musim peperiksaan habislah ibadatnya, kerana ibadatnya yang luar biasa itu ibarat buah durian yang hanya ada sekali sekala saja. Solatnya kerana mahu lulus peperiksaan, puasanya, baca yaasinnya dan lain-lain lagi semua kerana mahu sesuatu. Tiada iltizam jauh sekali tangkai-tangkai istiqomah.
Sudahlah, lupakan saja amalan tadi kalau dibuat bukan lagi kerana ALLAH.
Bukanlah salah ibadahnya itu, tetapi ke mana perginya segan silu kita pada Tuhan ya? Bila terasa ada hajat baru terhegeh-hegeh dan cepat cepat saja tunjuk muka. Seolah Tuhan sudah jadi tempat meminta hajat sahaja, apabila sudah terima apa yang dimahukan, bukan Tuhan saja sudah dilupai, bahkan Tuhan juga dia langgari.
Saya kadang-kadang bila terdetik atau berhasrat mahu sesuatu, tatkalanya saya tangguhkan dahulu kehendak itu, saya nilai semula detik-detik saya dengan Tuhan pada masa lepas, adakah saya ‘kamcing’ ataupun hampir jauh terlalai. Namun, ketika terdesak, saya tebalkan juga muka yang hina ini memohon kepada Tuhan apa yang terbuku di hati dengan harapan, DIA sudi mendengar permintaan saya yang bukan seberapa ini.
Bukan diri saya sahaja saya ingatkan untuk menangguhkan sesuatu hasrat, tetapi saya juga selalu mengingatkan pada "seseorang" agar saya dan dia sentiasa BERSYUKUR dan BERSABAR untuk memperoleh apa sahaja yang kami hasratkan.
" UTAMAKAN YANG UTAMA"
SEMUA ORANG MAMPU UNTUK BERSABAR DALAM MENCAPAI SESUATU HASRAT, AKAN TETAPI HANYA SEGELINTIR SAHAJA YANG MEMPUNYAI RASA SYUKUR DENGAN APA YANG ADA..
Mudah sahaja, jika kita tiada hajat atau apa-apa permintaan sekalipun, belajarlah untuk setia dengan-NYA. Dampinglah DIA setiap masa yang kita mampu ingat kepada DIA. Jangan di hujung-hujung leher keterdesakkan kita baru rasa hendak berseret ke hamparan sejadah menunaikan sembahyang hajat 12 rakaat. Kalaupun tidak ada hajat, apa salahnya kita tunaikan solat hajat juga, sekurang-kurangnya mohon agar dikuatkan iman dan dijauhkan daripada lalai dunia. Tidak setiap hari, selang sehari, seminggu sekaliun sudah cukup baik kata orang.
TAKUTNYA PADA YANG ‘NAMPAK’ SAJA?
‘B**I B$%^#ng!!’
‘Apa kau cakap macam ini depan Ustaz Min, seganlah sikit’
‘Errr..errr, maaf ustaz tak perasan ustaz ada tadi’
Yang inipun satu lagi gejala yang hampir tidak sihat, semacam tidak yakin bahawa Tuhan itu menilai dan mencatat manusia di mana-mana sahaja. Kamu duduk seorang pun DIA tahu, bahkan semasa beramai-ramai lagilah DIA tahu. Tetapi manusia jenis ini tidak faham akan konsep ihsan. Malu berbuat dosa bila di hadapan manusia lain yang melihat dia membuat dosa. Dia malu untuk bercakap kata-kata yang kurang sopan apabila dia duduk di kalangan orang yang thiqah-thiqah, segan untuk mencarut kalau berlingkung duduk semeja bersama ustaz-ustaz. Tetapi di belakang semua itu, mulutnya laju sahaja melontarkan kata sesedap rasa hati, semua orang ditohmah juga diumpat keji.
Inilah yang saya maksudkan manusia lupa yang dia bertuhan, lupa sekejap yang dia dinilai dengan baik dan buruknya. Sehingga ada yang sudah terbiasa membuatnya lebih teruk menjadikannya sebagai prinsip hidup, lebih baik menutup malu di depan mata manusia daripada aib di hadapan Tuhan. Sedangkan yang memberi syurga atau neraka itulah ALLAH taala.
Kalaulah manusia ini semuanya yakin bertuhan dan dididik dengan bimbingan sifat ihsan di dalam hati masing-masing, mungkin tak perlu lagi pegawai-pegawai agama untuk bersengkang mata di malam hari semata-mata untuk mencari pasangan berkhalwat dan bercanda di tempat-tempat yang sunyi. Kerana ihsan ketika itu sudah bertukar menjadi taqwa.
Oleh itu, kalau mahu berbuat dosa, maka datangkanlah yang mula-mula sekali rasa malu dengan tuhan, kerana kita akan tahu yang tuhan itu akan memerhatikan kita di mana sahaja. Sampai mana ALLAH taala mampu melihat? Sebutir pasir pantai yang bergerak seinci pun DIA tahu di mana dan ke mana geraknya. Anda manusia yang besar ini, lebih-lebih lagilah.
Kalau meninggalkan dosa hanya sekadar menutup keburukkan diri-sendiri di depan manusia saja, esok-esok kalau manusia itu hilang atau tiada dengan kita, kita akan rasa aman dan lebih selesa untuk terus berbuat dosa kerana masa itu tiada siapa yang boleh mengganggu. Ibaratnya dunia ini ana yang empunya.
JANGAN TIPU DIRI
Akhirnya,
Berusahalah merubahkan keyakinan diri agar ia dapat ditukarkan menjadi sifat ihsan dalam amalan hari-hari kita, supaya dengan rasa ihsan yang hari-hari kita semai itu lama kelamaan menjadi taqwa yang hakiki.
Maksudnya, jika terus beralasan demikian dan tanpa rasa bersalah selesa berperilaku begitu, itu bagi saya bukan lagi baik tujuannya, tetapi ada maksud tersembunyi lain yang sengaja disorok-sorokkan, ataupun maksudnya saya anggarkan begini: bukannya TIDAK MAHU BUAT DOSA KERANA BERSYARAT sebaliknya MAHU JUGA BUAT DOSA, TAPI NANTI DULU...
Lalu, ke mana perginya nilai isi dan daging menerusi amalan seharian kita, kalau MENINGGALKAN DOSA SEBAB BERSYARAT dan BERBUAT IBADAH PULA KERANA SESUATU? Kalau begitu, cubalah tanya semula pada diri, akukah Tuhan atau DIA yang hamba?
_____________________________________
Nota Kehidupan: Tuhan, jarang Kau mengujiku begini, hingga mengalir air mata.
No comments:
Post a Comment